AIRASIA mengumumkan penambahan penerbangan lewat malam dan tambang rendah tetap sempena Pesta Menuai (Kaamatan dan Gawai) dan Aidilfitri, dengan tambang bermula RM99 sehala dari Kuala Lumpur ke Alor Setar, Kota Bharu, Kuala Terengganu dan Johor Bahru.
Tambang penerbangan dari Semenanjung Malaysia ke Sarawak pula bermula RM149, manakala ke Sabah mulai RM199.
Dalam kenyataan hari ini, AirAsia berkata, tambang rendah tetap itu tersedia untuk perjalanan antara 31 Mei dan 17 Jun, 2019 selain akan menawarkan tambang rendah bagi laluan terpilih ke Sabah dan Sarawak untuk perjalanan antara 27 Mei dan 30 Mei, 2019.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group, Tan Sri Tony Fernandes berkata, lebih daripada 115,000 tempat duduk tambahan disediakan sepanjang tempoh perayaan berkenaan dan AirAsia berterima kasih kepada kerajaan atas sokongan mendapatkan kelulusan penerbangan ini.
Pelanggan yang melakukan perjalanan sepanjang tempoh itu dinasihatkan tiba lebih awal ke lapangan terbang kerana kesesakan dijangka berlaku di pemeriksaan keselamatan dan kaunter daftar masuk, menurut AirAsia.
Semua pelanggan juga dinasihatkan mendaftar masuk secara dalam talian dan mencetak pas masuk mereka sendiri.
Daftar masuk melalui web dan aplikasi mudah alih boleh didapati dari 14 hari sebelum waktu pelepasan untuk semua penerbangan AirAsia.
AirAsia berkata bagi pelanggan yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di Johor Bahru, mereka digalakkan menggunakan perkhidmatan Fast Airport Clearance Experience System (FACES) untuk perjalanan lebih lancar.
Pendaftaran FACES boleh didapati secara percuma menerusi aplikasi mudah alih AirAsia. - Bernama