MUVA, Datasonic dan TNB ILSAS bangunkan projek di Guinea

Iklan
Syahril bersama Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasbi Habibollah dan Dr Mohd Zaliman serta Setiausaha MUVA, Adi Yazid Rosli pada majlis memeterai MoU Kerjasama MUVA dengan Datasonic di Langkawi pada Rabu.

SHAH ALAM - Persatuan Perikatan UAV Malaysia (MUVA) mengumumkan kerjasama mereka dalam membangunkan penyelesaian tinjauan dan pemetaan Sistem Pesawat Tanpa Pemandu (UAS) termaju untuk projek E-Land DGB di Republik Guinea, Afrika.

Projek itu akan dijayakan bersama Datasonic Group Berhad (DGB) iaitu penyedia penyelesaian ICT berasaskan keselamatan terkemuka dan TNB Integrated Learning Solution Sdn Bhd (ILSAS) yang juga institut latihan terulung untuk Tenaga Nasional Berhad.

Iklan
Iklan

Presiden MUVA, Dr Mohd Zaliman Mohd Yusoff berkata, perkongsian strategik itu menghimpunkan kepakaran dan sumber ketiga-tiga organisasi untuk menyampaikan teknologi dan perkhidmatan UAS yang inovatif untuk projek E-Land.

"Kerjasama itu bertujuan untuk memanfaatkan kepakaran UAS MUVA, keupayaan penyelesaian ICT berasaskan keselamatan Datasonic dan kemahiran latihan TNB ILSAS untuk menyokong pembangunan penyelesaian UAS termaju yang disesuaikan khusus untuk projek E-Land.

Iklan

"Projek ini akan menggunakan teknologi UAS untuk menjalankan aktiviti tinjauan dan pemetaan lanjutan, membolehkan pengumpulan dan analisis data yang cekap untuk pembangunan dan pengurusan projek,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah Mohd Zaliman, nilai perjanjian projek antara MUVA dan DGB dianggarkan RM300 juta untuk tempoh lima tahun.

Iklan

Jelasnya, nilai anggaran itu adalah berdasarkan tinjauan udara dan kerja perkhidmatan pemetaan di seluruh negara termasuk pemerolehan data, pemprosesan dan analisis data imej dan peta topografi untuk projek E-Land DGB di Republik Guinea.

"Projek E-Land DGB memberikan peluang menarik untuk mempamerkan potensi teknologi UAS dalam aplikasi ukur dan pemetaan. Melalui kerjasama ini, kami komited untuk menyampaikan penyelesaian UAS inovatif yang meningkatkan kecekapan, ketepatan dan kemampanan alam sekitar projek.

"Kami berbangga untuk bekerjasama dengan Datasonic dan TNB ILSAS, memanfaatkan kepakaran gabungan kami untuk menyediakan teknologi dan perkhidmatan UAS yang komprehensif untuk Projek E-Land,” katanya.

Presiden merangkap Ketua Projek Khas di Datasonic, Datuk Syahril Abdullah berkata, pihaknya gembira menjadi sebahagian daripada kerjasama ini dan akan membawa pengalaman luas dalam penyelesaian ICT berasaskan keselamatan untuk meningkatkan keupayaan UAS untuk projek E-Land.

"Kami menyasarkan untuk menyediakan platform yang boleh dipercayai dan selamat untuk aktiviti ukur dan pemetaan projek. Kerjasama ini menekankan komitmen kami untuk memanfaatkan teknologi untuk penyelesaian yang berkesan,” ujar beliau.

Pengurus TNB ILSAS, Sharizam Salleh pula akan menggunakan kepakaran mereka dalam latihan dan pembinaan kapasiti serta akan memastikan kakitangan projek dilengkapi dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk mengendalikan teknologi UAS dengan selamat dan berkesan.