MANJUNG - Sebanyak 22 kompaun berjumlah RM16,500 berjaya dikeluarkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Seri Manjung terhadap 22 majikan selepas gagal mendaftarkan pekerja mereka dalam Op Kesan.
Pengurus Perkeso Seri Manjung, Mohd Shaperi Md Salleh berkata, Perkeso Seri Manjung melakukan pemeriksaan terhadap 137 majikan sejak 1 April sehingga hari ini di beberapa kawasan di Manjung melibatkan lima operasi.
"Kita berjaya memeriksa 137 majikan sepanjang lima kali operasi dijalankan melibatkan premis kawasan Manjung Point, Taman Samudera selain di dalam dua pasar raya di Seri Manjung.
"Daripada 137 majikan yang kita lawati hanya 22 yang gagal mematuhi Seksyen 4 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 dan dikenakan kompaun antara RM500 hingga RM4,000," katanya pada sidang media khas di Pejabat Perkeso Seri Manjung di sini, hari ini.
Menurut Mohd Shaperi, apa yang mengecewakan adalah terdapat majikan yang dikenakan kompaun memaklumkan tidak mengetahui bahawa perlu mencarum untuk pekerja.
"Pelbagai alasan diberikan seperti tidak cukup duit untuk membayar caruman Perkeso pekerja mereka serta tidak tahu sama ada pekerja mereka layak atau tidak mencarum.
"Malah ada mengatakan Perkeso tidak pernah menguar-uarkan kepada mereka mengenai pentingnya mencarum buat pekerja sedangkan selama ini kita sudah menggunakan pelbagai medium termasuklah mengadakan sidang media," katanya.
Mohd Shaperi turut memaklumkan pemeriksaan terakhir yang dijalankan anggotanya hari ini turut mendapat kerjasama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Seri Manjung.
"Ini kerjasama julung kalinya antara Perkeso Seri Manjung bersama KWSP Seri Manjung dalam melakukan pemeriksaan terhadap majikan yang enggan mencarum untuk pekerja mereka di samping menasihati serta mendidik majikan mengenai kepentingan mencarum Perkeso serta KWSP," katanya.
Mohd Shaperi turut menasihati majikan agar mematuhi peraturan yang ditetapkan dengan mencarum Perkeso buat pekerja dalam memastikan kebajikan pekerja mereka terpelihara dan terbela sekiranya berlaku kemalangan.