Tiada wakil beregu campuran ke pusingan kedua Masters Malaysia

Iklan
Soon Huat dan Shevon tewas kepada Praveen Jordan dan Melati Daeva Oktavianti dari Indonesia pada pusingan pertama kejohanan Perodua Malaysia Master 2023 di Axiata Arena Bukit Jalil pada Rabu. - Foto Bernama

KESEMUA gandingan beregu campuran negara menampilkan prestasi mengecewakan, selepas tiada wakil yang melepasi halangan pertama pada pusingan pembukaan Masters Malaysia 2023 di sini pada Rabu.

Peminat badminton tanah air dikecewakan seawal perlawanan pertama apabila Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, ditunjukkan jalan keluar oleh gandingan Thailand, Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran.

Iklan
Iklan

Pasangan di nombor 17 dunia itu tewas 20-22, 20-22, kepada gandingan ke-13 dunia dalam pertarungan sengit selama 44 minit di Axiata Arena di sini pada Rabu.

Kian Meng ketika ditemui pemberita mengakui kekalahan dialami berpunca daripada beberapa kesalahan dilakukan beliau dan Pei Jing sendiri, meskipun pasangan terbabit sudah mendahului ketika perlawanan kedua berlangsung.

Iklan

"Macam tadi saya cakap, kita yang mendahului, mereka yang kejar kita, hanya bahagian-bahagian kritikal kita buang, sudah dahului berapa mata kita buang dengan senang, itu yang hari ini kita main tidak bagus, perkara utama ialah kita tak pegang betul-betul,” katanya.

Nasib sama turut melanda Goh Soon Huat-Lai Shevon Jemie yang merupakan pilihan ketujuh, apabila mempamerkan aksi di bawah kemampuan dan tewas di tangan gandingan Indonesia, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti.

Iklan

Selepas tewas 19-21 di set pertama, Soon Huat-Shevon Jemie berjaya bangkit pada set kedua dengan menang 21-18, namun hilang rentak dan kecundang 12-21 pada set penentuan.

"Mungkin dari saya sebab di perlawanan kedua di mata penting saya ada paksa beberapa biji bola, jadi kaki saya tertarik, semasa set penentuan saya paksa (kaki saya), memang lawan yang kuat... tak ada peluang untuk serang,” katanya.

Suasana suram terus melanda kem badminton negara, apabila Chan Peng Soon-Cheah Yee See disingkirkan pasangan Korea, Kim Won Ho-Jeong Na Eun, 21-8, 21-15.

Dalam pada itu, pasangan meningkat naik, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei yang bangkit pada set kedua menentang Indonesia, Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari, gagal menjadi penyelamat kem beregu campuran apabila tidak mampu memberi tentangan pada set ketiga, sebelum tumpas 20-22, 21-11, 21-15.

"Prestasi tak bagus dan kami harus bertanggungjawab, kita tak cukup fokus seratus peratus...Sekarang saya mental sudah letih sebab kalah, sedih,” katanya. - Bernama