KUALA LUMPUR - Pinjaman peribadi adalah punca utama keberhutangan dalam kes kebankrapan di negara ini, iaitu sebanyak 49.22 peratus berbanding jenis pinjaman kewangan yang lain.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, pinjaman peribadi itu meliputi pinjaman bercagar atau tidak bercagar dari institusi perbankan, pinjaman peribadi daripada pemberi pinjam wang (money-lender) selain dari institusi perbankan dan ‘friendly-loan’ daripada orang perseorangan.
Katanya, selain itu kes kebankrapan melibatkan pinjaman perniagaan pula adalah sebanyak 17.05 peratus, pinjaman perumahan sebanyak 8.28 peratus dan hutang kad kredit sebanyak 6.35 peratus.
"Data dari segi umur pula, statistik bagi tempoh 2019 hingga 2023 menunjukkan golongan dalam lingkungan umur 35-44 tahun didapati paling ramai bankrap iaitu 13,073 orang berbanding individu bawah umur 25 tahun hanya seramai 107 orang, manakala yang berumur 55 tahun ke atas adalah seramai 5,297 orang.
"Berdasarkan jantina pula, golongan lelaki lebih ramai bankrap iaitu 25,104 orang berbanding wanita sebanyak 8,912 orang, selain orang Melayu adalah yang paling ramai bankrap dengan jumlah yang direkodkan seramai 19,791 orang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Insolvensi (Pindaan) 2023, sebelum ia diluluskan oleh Dewan Rakyat pada Rabu selepas ia dibahaskan oleh 18 ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
Terdahulu, pada sesi perbahasan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) meminta penjelasan jenis pinjaman peribadi yang menyebabkan ramai individu jatuh bankrap selain mencadangkan agar kadar bayaran lima hingga tujuh peratus kepada Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) dikaji semula.
Sementara itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) ketika sesi perbahasan membangkitkan tentang statistik kebankrapan melibatkan pecahan kaum yang menyatakan bagi 2019-2023, kaum Melayu mencatatkan kes bankrap tertinggi dengan 58.28 peratus, manakala Cina (24.96 peratus), India (7.91 peratus) dan lain-lain (8.67 peratus).
Muhyiddin juga mencadangkan supaya kerajaan memberi penekanan kepada usaha membantu individu muflis untuk bangkit dan membina semula ekonomi mereka selain tidak membiarkan status kebankrapan mereka kekal sepanjang hayat.
Rang Undang-Undang Insolvesi (Pindaan) 2023 antara lain memperuntukkan individu bankrap berumur 70 tahun ke atas dan pesakit mental layak dilepaskan melalui pengeluaran sijil Ketua Pengarah Insolvensi (KPI) selain penambahbaikan peruntukan pelepasan automatik.
Dalam pada itu, Azalina berkata, individu bankrap seharusnya diberikan peluang kedua untuk membina semula kehidupan dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. - Bernama