KUALA LUMPUR - Setiausaha Akhbar (SUA) Menteri Pertahanan, Amin Shah Iskandar menjelaskan menyediakan tanah karbala atau turbah di sejadah sememangnya menjadi tradisi di masjid-masjid di Iran.
Katanya, turbah diletakkan di atas semua sejadah termasuk sejadah milik orang kenamaan (VIP) dan terpulang kepada individu yang menunaikan solat untuk sujud pada sejadah tersebut.
"Semua orang tanpa kecuali, apatah lagi sejadah VIP.
"Tinggal lagi terpulang kepada kita nak sujud di mana," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas tular di media sosial gambar yang menunjukkan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu solat di salah sebuah masjid di Tehran, Iran.
Kelihatan turbah diletakkan di atas sejadah Mohamad yang dilihat berada pada barisan pertama solat berjemaah itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Menteri Pertahanan sertai lawatan kerja rasmi di Tehran
Mohamad kini dalam rangka lawatan kerja rasmi di Tehran, Iran selama enam hari bermula 26 April hingga esok.
Dalam lawatan tersebut, Mohamad Sabu telah mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawat yang juga Menteri Pertahanan dan Logistik Angkatan Tentera Republik Islam Iran, Brigadier General Amir Hatami.
Selain itu, mesyuarat tersebut turut dihadiri delegasi Malaysia terdiri daripada Duta Besar Malaysia ke Iran, Datuk Rustam Yahaya serta beberapa Pegawai Kanan Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia.