IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memperkenan tiga pengamal media membaca khutbah di masjid negeri Perak sempena sambutan Hari Wartawan Nasional esok.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata, tiga nama tersebut dikemukakan Jabatan Penyiaran Negeri Perak serta Persatuan Pengamal Media Perak untuk mendapat tauliah sementara membaca khutbah di tiga buah masjid di negeri ini.
Iklan
Iklan
Mereka ialah Editor, Rencana Agama dan Sastera Berita Harian, Mohd Nazmi Yaacob yang akan berkhutbah di Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri Perak); Ketua Biro Sinar Harian Perak, Saifullah Ahmad di Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh dan Penerbit Rancangan RTM, Mohd Fahmi Mohd Nor di Masjid Muhibbuddin Shah, Ipoh.
"Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah sempena sambutan Hari Wartawan Nasional yang akan berlangsung di Ipoh, Perak pada 27-28 Mei 2023 mengiktiraf peranan penting para wartawan telah menitahkan Khutbah Jumaat di negeri Perak pada 26 Mei 2023 bertemakan Kewartawanan: Menyempurnakan Tugas Berlandaskan Nilai-nilai Islam.
"Baginda turut memperkenankan pengamal media diberikan peluang dan penghormatan membaca Khutbah Jumaat di masjid-masjid di negeri Perak pada 26 Mei 2023," katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.
Minggu lalu, bersempena sambutan Hari Belia Negara, Sultan Nazrin turut memberi perkenan kepada 24 pemimpin belia membaca khutbah di masjid-masjid terpilih di seluruh negeri.
Pada 12 Mei lalu, baginda turut memperkenan seramai 14pendidik untuk membaca khutbah di masjid-masjid seluruh daerah sempena sambutan Hari Guru sebagai mengiktiraf peranan golongan tersebut.