KOTA TINGGI – [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki maut dalam kemalangan di hadapan sebuah bengkel di Jalan Mawai, di sini, pada Rabu.
Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan (PgBK II), Mohd Rafi Mohd Nor, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan berkenaan melalui talian Mers999 sekitar jam 7.29 malam.
"Sebaik menerima panggilan berkenaan, satu jentera FRT dan satu jentera EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi dengan kekuatan lapan anggota telah dihantar ke lokasi.
"Setibanya ke lokasi, pasukan keluaran operasi (PKO) mendapati kemalangan berkenaan melibatkan sebuah kereta jenis Proton Axia dengan sebuah lori 10 tan jenis Hino.
Tambah Mohd Rafi, PKO kemudiannya melaksanakan tugas-tugas penyelamatan dengan menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi.
Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Rakan maut motosikal bergesel
Sementara itu dalam kejadian berasingan di ALOR GAJAH, MELAKA, seorang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut apabila motosikal yang ditunggang bergesel dengan motosikal rakannya di Jalan Lebuh Sungai Udang -Paya Rumput Ayer Keroh (SPA) di sini, pada pagi Khamis.
Kejadian jam 3.50 pagi itu, menyebabkan mangsa yang juga pembantu kedai makan di Gangsa, Mohamad Haziq Rozi,18, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, ketika kejadian mangsa dan rakannya berusia 19 tahun masing-masing menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 dalam perjalanan dari arah Ayer Keroh ke arah Gangsa, Durian Tunggal.
"Setiba di lokasi kejadian motosikal mereka telah bergesel sesama sendiri sehingga berlaku perlanggaran dan terjatuh di atas permukaan jalan.
"Akibat kemalangan tersebut, Mohamad Haziq disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dan mayat telah dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
Ujarnya, rakannya mangsa, Muhammad Izzat Mohd Yazid yang tinggal berhampiran dengan rumah mangsa telah dihantar ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut kerana mengalami kecederaan luka-luka di seluruh anggota badan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.