PENGENDALI Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain mengakui beberapa kesilapan yang dilakukan pemain menjadi punca kekalahan 2-3 kepada Selangor dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya pada Rabu.
Menurutnya, gol yang dijaringkan oleh Selangor semuanya berpunca daripada kesilapan pertahanan walaupun berjaya mendahului dua kali dalam perlawanan tersebut.
"Pertahanan kita kena banyak perbaiki. Walaupun kita bermain dengan baik, tetapi serangan pihak lawan menyebabkan mereka ada peluang untuk jaringkan gol.
"Gol yang dijaringkan Selangor juga atas kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku.
"Namun, secara keseluruhan saya berbangga dengan persembahan 90 minit pemain. Walaupun kita ketinggalan dan kekuarangan pemain, tetapi kita mencuba. Dari segi persembahan kita tak sepatutnya kalah, cuma kita dihukum dengan kesilapan sendiri," katanya dalam sidang akhbar selepas tamat perlawanan.
Dalam perlawanan itu, Amirbek Juraboev terlebih dahulu meletakkan KDA FC di hadapan pada minit keenam sebelum Ayron del Valle menyamakan kedudukan pada minit ke-23.
Willian Lira kembali meletakkan pasukan dari Utara itu di hadapan pada minit ke-28 dan Faisal Halim memadam kelebihan itu lima minit sebelum separuh masa pertama.
Noor Al Rawabdeh menjadi wira Selangor dengan gol kemenangan pada minit ke-78 untuk memastikan pasukan Gergasi Merah itu berada di kedudukan kedua liga dengan 28 mata.
Dalam pada itu, Nafuzi turut menyifatkan kedudukan kelima ketika ini dalam saingan liga boleh dianggap sebagai sesuatu yang memuaskan.
"Tetapi sudah tentu kita mampu untuk tambah baik lagi pasukan. Saya agak berpuas hati dengan peningkatan pemain tetapi banyak aspek perlu ditingkatkan," katanya.
Mukhairi dapat semula keyakinan
Sementara itu, pemain muda Selangor, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi kembali mendapat keyakinan selepas membantu skuad Gergasi Merah itu melakar kemenangan 3-2 ke atas Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya pada Rabu.
Pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe mengharapkan persembahan yang ditunjukkan pemain tengahnya itu akan terus konsisten dalam perlawanan akan datang.
"Dalam dua perlawanan terakhir dia telah menjadi kapten, mengetuai pasukan dan bermain dengan baik. Namun kadang-kadang ada kesilapan dan ia adalah sebahagian daripada perlawanan.
"Dia dah meningkatkan prestasinya dan saya harap dia akan terus fokus untuk perlawanan akan datang nanti," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
Sebelum ini, Cheng Hoe mendedahkan beberapa pemain muda Selangor termasuk Mukhairi yang pulang dari Sukan SEA di Kemboja baru-baru ini berdepan masalah motivasi selepas tersingkir awal di peringkat kumpulan.
Cheng Hoe berkata, barisan staf kejurulatihan dan pemain senior perlu membantu pemain muda tersebut untuk mendapatkan semula keyakinan.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan para pemainnya telah memberikan persembahan sehabis baik ketika menewaskan pasukan Kedah.
"Pada perlawanan ini pemain menunjukkan perwatakan dan semangat juang yang tinggi. Sudah pasti pujian harus diberikan kepada semua pemain.
"Sebagai jurulatih, saya lihat ini adalah salah satu permainan terbaik kami tunjukkan dan bukan mudah untuk menang kerana Kedah juga bermain dengan baik," katanya.
Jaringan Bergson bunuh semangat Sri Pahang
Dalam pada itu, Bergson Gustavo Silveira Da Silva pada minit kecederaan babak pertama perlawanan 'membunuh' semangat Sri Pahang FC untuk bangkit pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim pada Rabu.
Ketua Jurulatih skuad Tok Gajah, Fandi Ahmad berkata beliau yakin pasukannya dapat mengubah keputusan permainan sekiranya tiada jaringan awal daripada Harimau Selatan.
"Gol tersebut agak 'killer' dan meruntuhkan semangat kita. Jika keputusan 0-0 pada separuh masa pertama, perlawanan pasukan pasti berubah.
"Saya ada cakap sebelum ini kita akan letak 'treler' (pertahanan) depan gawang pada perlawanan ini, tetapi treler kita bocor pula," katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim.
Menyifatkan pasukan kendalian Esteban Solari itu sebagai yang terbaik dalam liga, Fandi yang juga bekas pemain Pahang bagaimanapun berbangga kerana pemainnya dapat memberikan tentangan dan persembahan terbaik.
Beliau berkata, hal ini kerana tiga tonggak utamanya Nor Azam Azih, Sergio Aguero dan Lucas Silva tidak dapat diturunkan akibat kecederaan, selain tidak dapat mempertaruhkan Muhammad Syazwan Andik Mohd Ishak, Mohd Izham Tarmizi Roslan dan Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham yang merupakan pemain pinjaman Johor Darul Ta'zim (JDT).
Sementara itu, Solari menyifatkan perlawanan bertemu Sri Pahang FC sukar, namun pemainnya mempunyai kemampuan untuk memecahkan pertahanan dirancang Tok Gajah.
"Saya setuju perlawanan ini memang sukar, kami tahu mereka akan bertahan dan kami cuba mengawal permainan. Kami lihat Sri Pahang FC juga telah melakukan beberapa percubaan tetapi pertahanan kami berjaya menghalang mereka daripada menjaringkan gol," katanya.
Perlawanan antara kedua pasukan itu menyaksikan JDT menundukkan Sri Pahang FC 2-0 sekali gus memadam rekod tanpa kalah skuad Tok Gajah itu.
Dengan kemenangan kali ke-12 berturut-turut, JDT kekal sebagai pendahulu liga dengan 36 mata.