Bekalan gula di Pulau Pinang kurang

Iklan
Siew Hong terpaksa menghadkan penjualan gula kepada pelanggan selepas bekalan kurang daripada pembekal.

GEORGETOWN - Bekalan gula di Pulau Pinang didapati tidak stabil apabila pembekal menghadkan bekalan kepada peruncit sejak bulan lalu.

Peniaga kedai runcit, Chew Siew Hong, 72, berkata, bekalan gula di premisnya sentiasa ada namun bekalan tidak banyak seperti sebelum ini apabila pembekal menghadkan bekalan antara dua hingga empat kotak besar sahaja.

Iklan
Iklan

"Bekalan gula ada, tidak pernah terputus namun sejak bulan lalu, bekalan sangat kurang. Saya pesan lima kotak besar, dapat dua sahaja. Satu kotak besar ada 24 bungkus gula.

"Kelmarin, saya hanya dapat dua kotak sahaja. Alasan pembekal, mereka juga kekurangan bekalan sebab itu tidak dapat beri banyak kepada peruncit seperti saya," katanya yang ditemui di premisnya di Air Itam di sini pada Khamis.

Iklan

Sementara itu, pemilik kedai runcit, Neoh Siew Keat, 50-an berkata, dia pernah terputus bekalan gula selepas pembekal tidak menghantar bekalan seperti yang dipesan.

"Sejak sebulan setengah, bekalan gula memang kurang. Saya pesan enam kotak, kadang-kadang dapat dua kotak sahaja.

Iklan

Sementara itu, pekerja sebuah kedai runcit di Bandar Sri Pinang, K Sarojah, 52, berkata, premisnya kini langsung tidak mempunyai bekalan gula setelah habis dijual pada Khamis.

Sarojah menunjukkan rak gula yang kosong selepas bekalan gula tidak sampai walaupun sudah membuat pesanan.

"Sejak dua minggu lalu, memang bekalan gula sangat kurang. Jika ada pun, tak sampai dua kotak (46 bungkus). Sekejap sahaja habis dijual.

"Namun sejak semalam, pembekal belum datang hantar bekalan sebab itu kami terputus terus bekalan," katanya.

Dalam pada itu, pekerja kedai runcit, K Muthu Kumaran, 46, berkata, premisnya kehabisan gula sejak dua hari lalu.

"Kita ada buat pesanan semalam tetapi pembekal masih belum hantar. Kadang-kadang pesan satu kotak, tetapi dapat separuh kotak sahaja.

"Permintaan tinggi tetapi bekalan kurang. Memang pening lah, kasihan dengan pembeli. Kekurangan bekalan gula ini berlaku sejak awal April. Pernah sekali, dua minggu buat pesanan, masih tiada bekalan yang dihantar," katanya.

Sementara itu tinjauan Sinar Harian di sekitar Kepala Batas mendapati, masih ramai peniaga sukar mendapatkan bekalan gula dalam skala kecil yang di jual di kedai-kedai runcit di sini.

Peniaga gerai makanan dan minuman di Lahar Tiang, Farah Farhana Mohd Sharif, 27, berkata, setiap hari dia perlu mencari bekalan gula di 10 kedai runcit bagi menampung kegunaan harian.

Noor Hasni, Farah Farhana

Menurutnya, bukan sahaja sukar untuk mendapatkan bekalan malah peruncit juga mengehadkan jualan gula kepada dua bungkus untuk setiap pelanggan.

"Setiap hari saya gunakan hampir 20 kilogram gula untuk berniaga dan buat masa ni memang susah untuk dapatkan bekalan.

"Disebabkan masalah ini ada peruncit yang menawarkan bekalan berskala besar iaitu 50 kg seguni namun jadi susah kepada kami peniaga kecil untuk simpan,"katanya ketika ditemui di sini, pada Khamis.

Seorang lagi peniaga, Noor Hasni Saad berkata, sudah lebih seminggu bekalan gula sukar diperolehi di sekitar kawasan Penaga, Teluk Air Tawar dan Kepala Batas.

Beliau hairan bagaimanakah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KDPN) boleh menafikan perkara ini sedangkan orang ramai masih mengeluh disebabkan sukar mendapatkan bekalan bahan mentah itu.

Bekalan gula habis di sebuah kedai runcit di Taman Seri Indah, Kepala Batas.

"Macam mana mereka (KPDN) boleh kata bekalan gula stabil, tiada masalah dan semua baik-baik sahaja sedangkan rakyat dan peniaga di bawah ini susah betul nak dapatkan bekalan.

"Kalau mereka turun memantau dengan lengkap beruniform mungkin hasil tinjauan dilakukan semuanya baik-baik sahaja...cuba mereka buang sekejap uniform dan menyamar sebagai pengguna dan tengok bagaimana sukarnya kami mendapatkan bekalan gula,"katanya.