JPJ tahan 'ulat' perdaya penumpang warga asing

Iklan
Anggota JPJ Selangor bertindak menahan sebuah kenderaan jenis Toyota Innova bersama pemandu yang dipercayai 'ulat' mengambil penumpang di KLIA 2 pada Isnin.

SEPANG - Seorang lelaki disyaki pemandu kereta sewa haram atau 'ulat' yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2), pada Isnin.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor dalam satu kenyataan berkata, suspek yang merupakan seorang lelaki berusia 40-an dipercayai menghantar penumpang dari luar negara itu dari Terminal 2 KLIA, Sepang ke PJ De Inn Hotel, Petaling Jaya, Selangor secara haram.

Iklan
Iklan

"Suspek mengenakan tambang RM150 dan bayaran dibuat apabila tiba di destinasi. Sebuah kenderaan jenis Toyota Innova turut disita," kata kenyataan itu pada Khamis.

Katanya, mana-mana pihak yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 205(1), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010).

Iklan

Jelasnya, akta tersebut memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Tegasnya lagi, sesiapa yang bersubahat melakukan aktiviti 'ulat' juga boleh didakwa mengikut Seksyen 243(1), di bawah akta yang sama.

Iklan

Untuk itu menurutnya, orang ramai dinasihatkan agar menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah, sama ada melalui kaunter perkhidmatan yang disediakan di KLIA atau KLIA 2, selain membuat tempahan melalui aplikasi e-hailing.

Dalam perkembangan lain, katanya, sebanyak 24 notis dikeluarkan dalam operasi khas terhadap lori lebih muatan yang diadaakan di Lebuhraya Persekutuan, Cheras, Sungai Buloh dan Dengkil, Selangor bermula jam 2 pagi hingga 10 pagi Rabu.

"Antara kesalahan yang dikesan adalah tiada lesen memandu, lesen memandu tamat tempoh, lesen kenderaan motor (LKM) dan insurans tamat tempoh.

"Selain itu, terdapat kesalahan-kesalahan teknikal lain seperti tayar haus berlebihan, tiada pemantul cahaya dan cermin gelap," ujarnya.