PUTRAJAYA - Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim menyasarkan untuk membentangkan Rang Undang-Undang Kecekapan dan Konsevasi Tenaga di Dewan Rakyat pada tahun ini, kata Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad.
Beliau berkata, cadangan akta itu antara lain akan mengukuhkan rangka kerja perundangan berkaitan kecekapan dan pemuliharaan tenaga bagi memastikan penglibatan sepenuhnya pelbagai pihak di peringkat institusi dan organisasi.
Iklan
Iklan
"Akta itu akan membantu bukan sahaja untuk mengawal kecekapan dan pemuliharaan tenaga tetapi juga membantu pengguna menerima pakai peralatan dan perkakas yang lebih cekap dan mengurus penggunaan tenaga mereka dengan lebih baik untuk mengurangkan pembaziran,” katanya dalam ucapan pada Seminar Kepimpinan Kelestarian 2023 di sini hari Khamis.
Beliau berkata, banyak negara termasuk United Kingdom telah menerima pakai undang-undang sebegitu yang menghendaki agar penggunaan peralatan elektrik cekap tenaga, yang menyebabkan penurunan konsisten dalam permintaan tenaga di negara itu selama 20 tahun.
Pada Mac tahun ini, Nik Nazmi berkata, RUU berkenaan sedang dalam peringkat kajian dan akan dimuktamadkan sebelum dibawa ke Jabatan Peguam Negara serta dibentangkan kepada kabinet.
Mengakui bahawa banyak lagi usaha yang perlu dilakukan untuk kecekapan dan pemuliharaan tenaga, Nik Nazmi berkata, Malaysia perlu terus mengalakkan inovasi, kerjasama dan pendidikan untuk memastikan masa depan yang mampan untuk semua. - Bernama.