BRUSSELS - BELGIUM. Kesatuan Eropah (EU) semalam melanjutkan tempoh sekatan termasuk embargo senjata ke atas Myanmar selama setahun berhubung tindakan kekerasan ke atas etnik minoriti Islam di negara itu.
Majlis Eropah dalam satu kenyataan memaklumkan sekatan itu boleh menjadi ‘penindasan dalaman’ di Kachin, Rakhine di mana penduduk Rohingya menjadi sasaran kekejaman pihak berkuasa.
EU turut melanjutkan sekatan ke atas 14 pegawai kanan tentera dan pengawal sempadan atas pelanggaran hak asasi manusia termasuk melakukan pembunuhan dan keganasan seksual.
Di bawah langkah yang akan berkuatkuasa sehingga 30 April 2020 itu, mereka dilarang melakukan perjalanan ke blok Eropah selain aset yang terdapat di rantau terbabit dibekukan.
Selain itu, EU juga menyatakan dengan tegas bahawa ia tidak akan melatih tentera Myanmar.
Majlis Eropah turut merujuk kepada laporan sebuah badan pencari fakta bebas antarabangsa (FFM) yang menyimpulkan berlaku pencabulan hak asasi manusia secara meluas di Kachin, Rakhine dan Shan oleh tentera Myanmar atau tatmadaw.
Sebelum ini, PBB menyifatkan kekejaman di Rakhine sebagai pembunuhan beramai-ramai hingga menyebabkan lebih 700,000 penduduk Rohingya terpaksa melarikan diri ke Bangladesh.
Siasatan dilakukan agensi antarabangsa itu juga mendapati kempen ke atas etnik Rohingya telah dirancang dan susulan itu ia menggesa ketua tentera dan lima jeneral didakwa melakukan jenayah berat di bawah undang-undang antarabangsa.
Difahamkan, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah membuka siasatan awal terhadap keganasan tersebut yang dikecam dunia. - Agensi