Sanusi mahu jumpa Anwar, bentang ‘permohonan’ Kedah

Iklan
Muhammad Sanusi (kanan) berbual mesra dengan Anwar yang hadir untuk merasmikan segmen maritim di Resort Word Langkawi (RWL) pada LIMA '23. - Foto Urus Setia Penerangan Darul Aman (UPDA)

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhasrat mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam tempoh terdekat.

Beliau berkata, pertemuan itu adalah untuk membentangkan ‘wishlist’ Kedah seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan membabitkan urusan kerajaan Pusat dengan kerajaan negeri.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kerajaan negeri telah mengemukakan tiga kali permohonan bagi menetapkan tarikh perjumpaan sepanjang Anwar menerajui negara, namun sehingga kini belum mendapat maklum balas.

"Saya tak ada masalah apa-apa dengan Anwar. Saya hantar surat macam biasalah. Tapi tak dapat tarikh lagi (hingga kini).

Iklan

"Saya hantar surat sekali lagi pada awal Mei, maknanya ini surat yang ketiga untuk pertemuan selain mahu memberi taklimat serta beberapa permohonan atau ‘wishlist’,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.

Muhammad Sanusi berkata, ia bukanlah perkara yang luar biasa kerana perkara sama turut dilakukan ketika negara diterajui bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Iklan

"Wishlist Kedah ni masa Muhyiddin saya hantar satu, masa Ismail Sabri saya hantar satu. Masa Anwar pun saya hantar lah serta mohon tarikh untuk jumpa. Ia bagi membolehkan taklimat diberikan berhubung beberapa projek berimpak tinggi negeri, antaranya Kedah Aerotropolis.

Menurutnya lagi, sesi taklimat berkaitan Kedah Aerotropolis akan dibentangkan oleh pakar-pakar teknikal diketuai Ahli Lembaga Pengarah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal KXP AirportCity Holdings, Tan Sri Dr Ir Jamilus Hussein.

"Yang nak bagi taklimat bukan saya, bahagian teknikal bawah Tan Sri Ir Dr Jamilus, beliau antara pengasas yang bina KLIA. Kita bawa pakar, bukan koman (selekeh) pun.

"Kalau tanya pada saya, mungkin saya tak tahu aspek teknikal. Saya hanya tahu kepentingan diwujudkan Kedah Aerotropolis, macam mana dan bila nak buat, itu bahagian saya,” jelasnya.

Muhammad Sanusi berharap Anwar meluangkan sedikit masa untuk mendengar penerangan lengkap berkaitan projek mega yang dicanangkan sejak Kedah ditadbir Datuk Seri Mukhriz Mahathir, sebelum dijenamakan semula kepada Kedah Aerotropolis.

"Hubungan antara kerajaan dengan kerajaan tidak boleh terjejas. Mungkin ada keluar merecik-recik api sikit itu pasal politik kepartian sebab masing-masing berbeza politik.

"Bila berlaga terpercik lah api tetapi hakikatnya antara kerajaan dengan kerajaan sepatutnya tiada masalah. Kedua-dua pihak sama ada kerajaan pusat atau kerajaan negeri di tubuh oleh undang-undang tubuh, ada garis panduan untuk bertindak,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, beliau menyangkal dakwaan Anwar yang menyifatkan dirinya ‘angkuh, sombong dan hanya pandai cakap berkobar-kobar’, berbanding Menteri Besar Pas lain.

"Kalau orang cakap tak betul tentang kerja yang kita serius usahakan, siapa pun akan marah. Menjelaskan kesalahan yang dibuat bukanlah satu keangkuhan atau sombong, ia pencerahan yang wajar dihargai. Orang yang sombong ni kalau orang nak jumpa dia tak mahu,” katanya.

Sebelum ini, Anwar ketika berucap pada Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur dilaporkan berkata, kerajaan persekutuan menyambut baik kesediaan Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yaakob untuk berunding dengan baik bagi menyelesaikan isu air di negeri itu.

Berbanding Muhammad Sanusi yang disifatkan Anwar sebagai ‘angkuh, sombong dan hanya pandai cakap berkobar-kobar’.