PIHAK Pengurusan Perak FC mengambil keputusan menamatkan khidmat ketua jurulatih Perak FC, Datuk Lim Teong Kim berkuat kuasa serta merta.
Perkara itu diumumkan secara rasmi menerusi hantaran di Facebook rasmi pasukan Liga Super Malaysia itu.
Sehubungan itu, Yusri Che Lah akan mengambil semula jawatan tersebut sebagai ketua jurulatih sementara.
"Perak FC mengumumkan Datuk Lim Teong Kim tidak lagi bersama pasukan Liga Super berkuat kuasa serta-merta. Yusri Che Lah akan mengambil alih tugas sebagai Ketua Jurulatih Sementara untuk masa terdekat.
"Kami mengucapkan terima kasih kepada Datuk Lim di atas sumbangannya dan mendoakan yang terbaik untuk karier beliau pada masa hadapan," katanya kenyataan tersebut ringkas pada Khamis.
Teong Kim dilantik ke jawatan berkenaan pada September tahun lalu menggantikan Yusri yang ditugaskan membimbing skuad B-23 Perak FC.
Sepanjang membimbing pasukan dalam Liga Super, Perak FC hanya memperoleh dua kemenangan, tiga seri dan tujuh kekalahan dalam 12 perlawanan sekaligus menyaksikan Perak FC kini berada di tangga ke-11 liga.
Perlawanan terakhir yang dikendalikan ketua jurulatih itu adalah pada Selasa yang menyaksikan Perak FC kecundang 1-3 dengan Sabah FC di Stadium Likas.