Rali panjang iringi kejayaan Pearly-Thinaah

Iklan
Aksi atlet Beregu Wanita negara Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan ketika menentang Beregu dari Bulgaria Gabriela Stoeva dan Stefani Stoeva pada pusingan pertama Kejohanan Perodua Malaysia Master 2023 di Axiata Arena Bukit Jalil, pada Khamis. - Foto Bernama

BEREGU wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah menempah tiket suku akhir Masters Malaysia 2023 selepas menewaskan gandingan Jepun, Rena Miyaura-Ayako Sakuramoto sebentar tadi.

Dalam aksi pusingan kedua di Axiata Arena, Bukit Jalil itu, Pearly-Thinaah merakamkan kemenangan dalam pertarungan tiga set 21-17, 18-21, 21-19 yang berlarutan 1 jam 29 minit.

Iklan
Iklan

Tumpuan aksi tersebut ketika set penentuan apabila Pearly-Thinaah sedang mendahului Rena-Ayako di kedudukan 16-14 apabila sebanyak 211 pukulan terhasil.

Ia secara tidak rasmi menjadi antara rali terpanjang di dunia bagi acara beregu wanita, sekali gus memadam rekod lama 195 pukulan ketika gandingan Korea Selatan, Baek Ha Na-Lee Yu Rim menentang Du Yue-Li Wen Mei dari China pada Terbuka Korea 2022.

Iklan

"Apabila rali itu berakhir dan kami mendapat mata, saya sangat teruja kerana sangat memenatkan, kami hanya mahu habiskan rali dengan cepat.

"Saya melambung dan campak raket itu satu perkara, saya mahu lengahkan masa kerana untuk mengambil semula raket akan memakan masa, ada masa untuk saya rehat,” kata Thinaah selepas perlawanan.

Iklan

Ketika ditanya sama ada mahu mencipta rekod pukulan rali terbanyak, Thinaah menjawab:"Harap dapat matikan permainan dengan lebih cepat.”

Dalam aksi suku akhir pada Jumaat, Pearly-Thinaah yang kini menduduki ranking ke-11 dunia dijadualkan menentang pasangan Jepun, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota.