SHAH ALAM - Rakyat masih belum lupa pada janji Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menurunkan harga petrol ketika menjadi Ketua Pembangkang.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, kerajaan dilihat tidak peduli rintihan suara rakyat, kos sara hidup, ekonomi tak stabil serta menafikan kebangkitan gelombang rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Rakyat masih tak lupa janji nak turunkan harga petrol RM1.50. Ayuh, kita bangkit dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
"Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, kita try kalih,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Pada Khamis, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berhubung status siasatan terhadap dakwaan berhubung sumbangan dana judi di mana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati maklumat terlalu umum dan tiada pihak yang boleh mengesahkan isu itu.
Pada 5 Disember tahun lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim membayangkan sebahagian dana pilihan raya PN datang dari syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas judi.
Anwar berkata, Kementerian Kewangan juga mendapati"pelanggaran" dalam pemberian kontrak berjumlah RM600 bilion tanpa tender.
Ujar Wan Saiful, jawapan Menteri pada Khamis telah mengesahkan bahawa tiada bukti Perikatan Nasional (PN) terima dana syarikat judi.
"Lima bulan berlalu untuk kerajaan ini hasilkan imej dan persepsi buruk terhadap PN. Ini terang-terang fitnah besar dan dahsyat sekali.
"Kerajaan Pakatan Harapan (PH) - Barisan Nasional (BN) ini cuba menafikan kebangkitan gelombang rakyat pada PRU15.