Bukan sekadar sukan

Iklan
Malaysia menamatkan cabaran di tempat ketujuh dan gagal mencapai sasaran 40 pingat emas pada Sukan SEA 2023.

USAH dikenang pencapaian kontinjen Malaysia yang tidak mencapai sasaran 40 pingat emas dalam Sukan SEA Kemboja 2023 yang menutup tirai pada 17 Mei lalu.

Ramai dalam kalangan pengkritik dan peminat sukan tanah air menganggap ia sebagai rekod terburuk negara sejak temasya dwitahunan itu diperkenalkan pada tahun 1959.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun bagi Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang baru menerajui kementerian itu sejak 3 Disember lalu melihat masih ada sinar buat sukan tanah air kerana sebahagian besar kontinjen negara dibarisi atlet muda.

Mereka adalah atlet bawah usia 23 tahun meliputi 63 peratus (427 atlet), seramai 222 berjaya menaiki podium apabila meraih 18 emas, 21 perak dan 66 gangsa.

Iklan

Apa pun pencapaian 34 emas, 45 perak dan 96 gangsa yang meletakkan Malaysia di tempat ketujuh satu tangga di belakang negara kecil, Singapura sebagai ada hikmah yang tersembunyi sebagai wake up call.

Pelbagai alasan didedahkan yang kononnya menjadi punca Malaysia gagal menyerlah di Phnom Penh, Kemboja.

Iklan

Ketidakstabilan politik dalam tempoh lima tahun lalu sehingga menjejaskan bajet, program pembangunan dan pelaksanaan strategik.

Alasan lain termasuk kebergantungan kepada atlet senior, kelemahan taktikal permainan dan penggunaan atlet naturalisasi oleh negara yang bertanding menyebabkan Malaysia hilang 12 emas daripada sembilan jenis sukan.

Mudah untuk menuding cari mencari salah, namun yang lebih afdal ialah mencari jalan bukan mencipta alasan.

Pemenang bukan menang semua dan kalah bukan kalah semua.

Tahniah buat pemenang pingat, namun ia bukan lesen untuk anda berasa selesa perlu teruskan usaha berlipat kali ganda.

Buat yang kalah, jadikan ia sebagai iktibar untuk anda bangkit dan sebagai pembakar semangat untuk lebih baik.

Berundur tiga langkah membaiki kelemahan bukan bermakna mengaku kalah, tetapi anda perlu bangkit berlari gandakan usaha sembilan langkah ke depan.

Perjalanan anda masih jauh, penuh liku dan mencabar, Sukan SEA baru permulaan, ada misi lebih besar sehingga ke peringkat tertinggi iaitu Sukan Olimpik.

Pelbagai inisiatif boleh dilakukan termasuk seperti yang disebut oleh Hannah perancangan untuk meningkatkan kerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pendidikan kerana bakat muda dicungkil di peringkat ini.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria pula berharap kerajaan dapat merangka sistem ganjaran buat atlet cemerlang.

Malah ada yang mencadangkan agar Malaysia memberi tumpuan kepada sukan yang menjadi lubuk emas seperti basikal, terjun, karate dan silat.

Pelbagai usaha boleh dilakukan bagi memacu sukan Malaysia di pentas antarabangsa menerusi pelan jangka pendek, sederhana dan panjang.

Ia perlu bermula dari akar umbi ketika usia lima atau enam tahun, disusuli peringkat rendah (enam hingga 12 tahun), menengah (13 hingga 17 tahun) dan kemudian kolej atau institusi pendidikan tinggi.

Diikuti dengan skuad muda atau pelapis dan kemudian atlet elit tanpa mengenepikan proses pendidikan untuk menjadikan mereka sebagai profesional serta pakar dalam sukan serta berpengetahuan.

Kesemua itu terangkum dalam satu sistem bersepadu melibatkan pemegang taruh daripada pelbagai kementerian, Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA) serta sektor korporat dan tidak terkecuali ibu bapa.

Menteri, warga KBS, presiden NSA, jurulatih, pentadbir sukan dan atlet silih berganti.

Justeru pembentukan Kertas Putih Sukan Negara yang mampan, berdaya saing, strategik dan dinamik wajar dipertimbangkan.

Siapa sahaja yang menerajui KBS serta NSA, maka kertas putih adalah rujukan utama yang perlu dipatuhi.

Status atau standard juga perlu dinaik taraf, atlet dan sukan bukan sekadar minat, tetapi kerjaya profesional yang menuntut kepakaran tinggi, semangat luar biasa dan daya juang hebat.

Menerusi komitmen dan kekuatan politik, apa sahaja cadangan untuk memartabatkan sukan negara di pentas antarabangsa mampu menjadi kenyataan.

* Ahmad Syahir Kassim ialah wartawan sukan Sinar Harian