MUADZAM SHAH - [DIKEMAS KINI] Seorang pemandu maut selepas treler membawa muatan papan lapis yang dipandu terbabit kemalangan dengan treler bermuatan paip besi di Kilometer 111.3 Jalan Kuantan-Segamat di sini pada awal pagi Jumaat.
Dalam nahas kira-kira jam 5 pagi itu, muatan paip besi yang dibawa salah sebuah treler terlibat terjatuh dan menghempap kepala treler dipandu, mangsa, Ahmad Ridzuan Usman,37 dari Kampung Rekoh Baru, Bandar Tun Razak di sini.
Akibat kejadian, mangsa tersepit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintenden Mohd Azahari Mukhtar berkata, pemandu treler jenis Volvo yang membawa muatan paip besi, Yong Pong Yoon, 55 cedera ringan dan hanya luka di bahagian tangan.
Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa dalam perjalanan menghantar muatan dari arah Segamat menghala ke Kuantan.
"Apabila sampai di lokasi kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal kenderaannya lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan treler dipandu Pong Yong.
"Difahamkan lokasi kejadian merupakan laluan yang agak berselekoh," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Mohd Azahari berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 5.16 pagi.
Beliau berkata, susulan maklumat diterima, sembilan anggota bomba termasuk seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muadzam Shah ke lokasi untuk operasi menyelamat mangsa kemalangan terlibat.
"Ketika tiba di lokasi mendapati salah seorang pemandu tersepit dan disahkan telah meninggal dunia.
"Mangsa mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.