SHAH ALAM - Pengerusi Sekretariat Hal Ehwal Industri Halal dan Keusahawanan UMNO, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan pihaknya akan mengadakan sesi libat urus dalam masa terdekat bersama agensi berkaitan perindustrian berkenaan bagi memenuhi keperluan dan kehendak rakyat.
Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata, ia merupakan salah satu daripada intipati mesyuarat pertama sekretariat berkenaan pada Khamis yang menekankan tekad utama memartabatkan ekonomi bangsa Melayu melalui pemerkasaan usahawan terutamanya melibatkan sektor halal.
Iklan
Iklan
Jelas Tengku Zafrul, pihaknya turut merancang untuk melaksanakan program yang berimpak tinggi kepada pemegang taruh.
"Sekretariat ini akan berusaha untuk membantu usahawan dan perniagaan yang memerlukan sokongan untuk memastikan agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera terus diketengahkan demi melahirkan generasi usahawan Bumiputera yang lebih berdaya saing dalam Malaysia Madani,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Selain itu, sekretariat tersebut juga memfokuskan kepada usaha membantu peralihan usahawan daripada perusahaan sederhana ke syarikat besar dan memastikan kelangsungan hidup peniaga mikro.
Jelas Zafrul, pihaknya komited memacu dan memecut perkembangan syarikat besar ke peringkat global serta.melahirkan usahawan teknologi bumiputera pada masa hadapan.
"Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas kepercayaan melantik saya sebagai Pengerusi Sekretariat dan Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad sebagai Timbalan,” tambahnya.