Jurukimpal dijel 6 bulan, komunikasi jelik terhadap Sultan Perak

Iklan
Mohd Masri (tengah) hadir di Mahkamah Sesyen pada Jumaat bagi menghadapi pertuduhan membuat hantaran komunikasi jelik terhadap Sultan Perak di laman sosial Twitter miliknya, Disember tahun lalu. -Foto: SINAR HARIAN/ Rosli Talib

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang jurukimpal membuat hantaran komunikasi jelik terhadap Sultan Perak di laman sosial Twitter miliknya, Disember tahun lalu mengundang padah, apabila dia dipenjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat.

Mohd Masri Md Darus dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim, Priscilla Hemamalini Nadarajan.

Iklan
Iklan

Mahkamah memerintahkan lelaki berusia 36 tahun itu menjalani hukuman penjara bermula Jumaat.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melalui perkhidmatan aplikasi Twitter dengan menggunakan laman profil Twitter ‘@Muhammad65J’ di pautan secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi lain yang jelik sifatnya terhadap Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, dengan niat untuk menyakiti hati orang lain.

Iklan

Pautan itu kemudian dibaca di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Wangsa Maju, di sini, pada 5 petang, 3 Januari lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama.

Iklan

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ilya Ellyna Nor Azmal mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal berbentuk pengajaran, agar lebih berhati-hati dalam memuat naik hantaran di media sosial.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu supaya dikenakan hukuman ringan kerana tidak berkemampuan selain perlu menjaga ibu yang sedang uzur.