Mohd Daud bangga persembahan KDA FC walaupun tewas

Iklan
Mohd Daud (kanan) bersama Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum perlawanan liga super antara Selangor FC dan KDA FC di Kelana Jaya pada Rabu.

PEMILIK Kedah Darul Aman (KDA) FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar tetap bangga dengan prestasi semasa kelabnya biarpun gagal meneruskan momentum selepas tewas tipis 3-2 kepada Selangor FC, dalam aksi ke-12 Liga Super 2023 pada Rabu.

Menurutnya, Sang Kenari telah beraksi pada tahap terbaik dan kesungguhan diberikan sehingga ke tiupan wisel terakhir, namun rezeki tidak memihak kepada mereka di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Iklan
Iklan

"KDA FC gagal dan kalah dengan Selangor FC dalam satu perlawanan yang penuh intensiti. Hati sedih dengan kekalahan.

"Ramai peminat dan penyokong KDA FC sudah pasti sedih dan kecewa. Tapi saya tetap bangga dengan persembahan Sang Kenari. Persembahan terbaik mereka," katanya seperti dipetik melalui Facebook rasminya.

Iklan

Mohd Daud turut mengucapkan tahniah kepada pasukan atas kemajuan yang konsisten serta penambahbaikan yang dilakukan.

Menurutnya, pasukan itu akan kembali bangkit pada aksi seterusnya dan memohon sokongan berterusan penyokong KDA FC untuk terus memberikan motivasi kepada semua pemain.

Iklan

"Jom kita terus meningkatkan persembahan sama ada di tempat sendiri atau tempat lawan. Jumpa nanti di Stadium Darul Aman pada 2 Jun. Insya-Allah Sang Kenari akan bangkit semula," katanya.

KDA FC bakal menerima kunjungan satu lagi pasukan yang berada di kelompok atasan liga super iaitu Sabah FC pada 2 Jun ini.

Sang Kenari kini berada di tangga kelima dengan 22 mata manakala The Rhinos berada di tangga keempat dengan 24 mata selepas 12 perlawanan.