SHAH ALAM - Kalimah ALLAH bukan terjemahan bahasa Melayu kepada perkataan 'God' sebaliknya perkataan yang mewakilinya adalah tuhan atau dewa.
Perkara itu ditegaskan menerusi khutbah Jumaat di seluruh masjid di Selangor pada Jumaat.
Menurut teks khutbah berkenaan, perkataan 'ALLAH' sekiranya dirujuk kamus, merujuk kepada nama Tuhan dalam kalangan orang Islam, satu-satunya Tuhan dalam agama lslam atau nama Tuhan berasal daripada istilah Arab digunakan seluruh penganut agama Islam tanpa mengira bahasa.
"Wujud alasan bahawa kalimah ALLAH dituntut kerana ia diguna pakai dalam Bible edisi bahasa Arab dan bahasa Indonesia namun hakikatnya, ia adalah kesalahan sejak awal penterjemahan.
"Buktinya, Bible edisi bahasa Inggeris tidak menggunakan kalimah ALLAH sama sekali, sebaliknya menggunakan perkataan 'God' merujuk Tuhan Bapa dan 'Lord' merujuk Tuhan Anak.
"Justeru, mengapakah mahu diterjemahkan perkataan 'God' dengan kalimah ALLAH?," jelas teks khutbah berkenaan.
Menerusi teks khutbah itu lagi, penggunaan kalimah ALLAH oleh agama lain selain agama Islam adalah suatu perkara menyanggah konsep keesaan ALLAH SWT dan boleh membawa kekeliruan kepada umat Islam.
Menurut teks khutbah tersebut, kalimah ALLAH ialah nama khas merujuk kepada Tuhan dalam agama Islam.
"Apabila disebut nama khas maka ia adalah khusus, istimewa, ditentukan atau diperuntukkan hanya kepada penamanya dan tidak sebagaimana kata nama am yang boleh diguna-pakai kepada kelompok umum seperti tuhan, manusia atau haiwan.
"Penama dinamakan dengan nama khas mempunyai identiti, ciri-ciri atau sifat-sifat memperkenalkannya atau mengasingkannya daripada yang lain," menurut teks khutbah tersebut.
Jelasnya, sebagai contoh, rumah ibadat adalah kata nama am yang dikongsi sama, sebaliknya istilah masjid, gereja dan gurdwara adalah perkataan beridentiti yang membezakannya dengan yang lain.
"Adakah rasional nama ALLAH boleh dirujuk kepada dua tuhan dengan identiti serta konsepnya yang berlainan, soalnya menerusi teks khutbah disampaikan," katanya.
Ujar teks khutbah itu lagi, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan dan agama bagi negeri.
"Ini suatu jaminan undang-undang dan menjadi prinsip utama dasar pemerintah dan pihak berkuasa agama dalam menjaga akidah dan tuntutan syariat Islam.
"Dengan dasar-dasar menjaga kepentingan agama Islam ini, umat Islam hendaklah mengambil peluang meningkatkan amalan masing-masing dan mempamerkan akhlak Islam serta mencerminkan keindahan Islam dalam bermasyarakat, berorganisasi dan bernegara," ujarnya.
Menurut teks khutbah itu, masyarakat bukan Islam perlulah menghormati agama Islam dan umat Islam sebagaimana umat Islam menghormati kepercayaan agama orang bukan Islam.
"Elakkan sama sekali apa-apa juga perkara, isu atau persoalan yang menyentuh sensitiviti dan keyakinan antara berbilang agama di negara ini," katanya menerusi teks khutbah tersebut.
Menurutnya lagi, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj menegaskan dalam titahnya bahawa Tuanku sentiasa menekankan agar rakyat menghormati kepercayaan agama masing-masing dan tidak cuba untuk menyentuh sensitiviti agama lain yang boleh merosakkan perpaduan kaum di negeri Selangor.
"Jika umat Islam boleh menghormati penganut agama lain dengan tidak mencampuri urusan berkaitan agama mereka maka Tuanku juga menggesa agar penganut agama selain dari Islam untuk menghormati penganut agama Islam khususnya dalam penggunaan kalimah ALLAH yang menjadi pegangan utama umat Islam," katanya.