BUKIT MERTAJAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang merampas 1,557 kilogram minyak masak peket bersubsidi yang disembunyikan di sebuah rumah di Taman Seri Tambun, Simpang Ampat dekat sini pada Khamis.
Pengarahnya, S Jegan berkata, dalam serbuan yang dilakukan jam 1.50 petang itu pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 50-an yang merupakan pemilik sebuah kedai runcit.
Menurutnya, kesemua 1,557 kilogram minyak masak paket bersubsidi itu ditemui di bahagian ruang tamu rumah berkenaan.
"Namun mengikut permit lelaki itu hanya boleh menyimpan 500 kilogram minyak di kedai runcitnya namun pemeriksaan menemui jumlah berganda," katanya pada sidang akhbar di Stor Eksibit KPDN di Bukit Minyak pada Jumaat.
Jegan berkata, pihaknya menyita lebih 1.5 tan minyak masak paket yang bernilai RM3,892.50.
Mengulas lanjut, Jegan berkata, hasil siasatan mendapati modus operandi lelaki itu dengan mempamerkan notis tiada bekalan minyak paket subsidi untuk dijual kepada pelanggan di kedainya meskipun dia didapati mendapat bekalan daripada pembekal.
"Susulan aduan diterima, pegawai kita melakukan penyamaran untuk siasat dakwaan dan hasil penyamaran mendapati suspek memberi alasan tiada bekalan minyak masak peket setiap kali pelanggan mahu membelinya.
"Siasatan kita juga mendapati, suspek menyorok minyak ini di kediamannya dipercayai untuk dijual kepada pasaran luar dengan harga yang lebih tinggi. Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.