IPOH - Wartawan memenuhi tanggungjawab fardu kifayah dengan melaksanakan tugas diamanahkan secara jujur dan ikhlas.
Perkara itu ditekankan menerusi khutbah Jumaat di seluruh masjid di Perak pada Jumaat.
Menurut teks berkenaan, amanah yang diberikan dilaksanakan berpandukan adab yang berlandaskan nilai-nilai Islam, antaranya bersikap terbuka, adil, saksama dan seimbang serta tidak memfitnah agar pekerjaan diterima sebagai ibadah.
"Wartawan yang mahu mendapatkan keredaan Ilahi, wajib memahami, menghayati dan mengamalkan adab kewartawanan berlandaskan Islam ketika menyempurnakan tugas, terutama pada zaman yang serba mencabar ini.
"Jangan sama sekali harga diri digadaikan, lalu memilih bersifat menegakkan benang basah ketika menyampaikan berita, apabila kebenaran dikorbankan, sedang kesalahan dilindungi, kerana tarikan kebendaan dalam bentuk upah, sogokan, pangkat, jawatan dan gelaran," jelas teks khutbah tersebut.
Teks disediakan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) itu turut menyentuh cabaran, kesulitan dan keadaan bahaya dihadapi kalangan wartawan terutama ketika mengumpulkan maklumat.
"Ada kalangan mereka yang menghadapi kecederaan malah kehilangan nyawa.
"Dilaporkan dalam tahun 2022, lebih daripada 67 pengamal media di seluruh dunia terkorban semasa menjalankan tugas, catatan tertinggi berbanding tahun-tahun sebelumnya," katanya.
Teks khutbah turut mengingatkan pengamal media menginsafi bahawa bakat menulis ialah kurniaan Ilahi dan tidak sama sekali
menyalah guna dengan membenarkan diri diperalatkan untuk menyebar fitnah kerana tarikan upah, kebendaan, ganjaran, pangkat dan jawatan.
Ujarnya, media juga perlu mengambil tanggungjawab untuk sama-sama membantu membangunkan sebuah negara yang aman lagi makmur, merdeka dan berdaulat.
"Peranan wartawan dalam menyampaikan maklumat yang benar merupakan satu hak dan kebebasan bersuara yang tidak seharusnya dipersendakan atau dipermainkan oleh mana-mana pihak.
"Perkara yang benar wajib dikatakan benar; dan perkara yang salah wajib dikatakan salah," kata teks berkenaan.
Kupasan isu kewartawanan ini adalah bersempena sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) yang berlangsung di Ipoh pada Sabtu dan Ahad ini.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut memberi perkenan tiga pengamal media membaca khutbah Jumaat di tiga masjid di sini pada Jumaat.
Mereka ialah Ketua Biro Sinar Harian Perak, Saifullah Ahmad di Masjid Sultan Azlan Shah; Editor Rencana Agama dan Sastera Berita Harian, Mohd Nazmi Yaacob di Masjid Sultan Idris Shah II dan Penerbit Rancangan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Perak, Mohd Fahmi Mohd Nor di Masjid Muhibbuddin Shah, Ipoh.