CAP gesa KPDN lancar operasi buru penyembunyi gula

Iklan
Mohideen

GEORGETOWN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) perlu segera melancarkan operasi di seluruh negara bagi mengesan pihak yang terlibat dalam menyembunyikan gula hingga menyebabkan krisis bekalan bahan mentah itu kebelakangan ini.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada peniaga dan pengguna yang menghadapi kesukaran untuk mendapatkan gula putih.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun katanya, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub pula menyatakan jaminan bekalan gula negara mencukupi walaupun harga gula dan gas asli dunia meningkat.

"Kita percaya mereka ini yang memburukkan lagi krisis dengan menyekat bekalan komoditi itu ke pasaran," katanya menerusi kenyataan di sini pada Jumaat.

Iklan

Beliau turut menyarankan agar Bahagian Penguatkuasa KPDN melakukan serbuan di seluruh negara bagi memaksa penyorok mengeluarkan stok gula mereka ke pasaran.

Sementara itu, Mohideen turut menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya dapat mengatasi masalah pengambilan gula yang berlebihan dalam kalangan rakyat di negara ini.

Iklan

Jelasnya, berdasarkan kajian Persekutuan Diabetes Antarabangsa (IDF), sebanyak 6.7 juta kematian akibat diabetes di seluruh dunia pada 2021.

"Kajian IDF juga menunjukkan gula bukan sahaja dikaitkan dengan diabetes, tetapi juga menjadi punca kepada obesiti, penyakit jantung dan strok.

"Pengambilan gula secara berlebihan memberikan banyak kesan kepada orang ramai. Jadi, kerajaan diminta membantu mewujudkan kawalan ke atas penggunaan gula dalam pengeluaran dalam produk makanan," katanya.

Pada Khamis KPDN Pulau Pinang memaklumkan kekurangan bekalan gula di negeri adalah disebabkan pembelian panik dalam kalangan pembeli selepas isu berkaitan bekalan tersebut terputus di beberapa buah negeri.

Pengarah KPDN Pulau Pinang, S Jegan ketika dihubungi berkata, memang benar berlaku gangguan bekalan gula di peringkat kedai runcit namun masalah tersebut sedang diselesaikan secara berperingkat.

"Memang benar ada gangguan di peringkat peruncit namun tidak di pasar raya. Bekalan di pasar raya tiada masalah. Hal ini berlaku kerana bekalan di peringkat pengilang juga kurang.

"Kita sedang menyelesaikan masalah ini secara berperingkat dan dijangka minggu depan, tiada lagi gangguan bekalan gula di peringkat peruncit. Masalah ini dalam tindakan kita ketika ini. Perkara ini berlaku disebabkan pembelian panik oleh pembeli.

"Bagaimanapun, ia hanya bersifat sementara dan akan ditangani KPDN. Kita menasihatkan peniaga agar tidak mengambil kesempatan dengan mengenakan pembelian bersyarat kepada pembeli," katanya.