LIMA'23 kembalikan kemeriahan Langkawi

Iklan
Orang ramai banjiri kawasan pameran statik (static display) yang pamerkan beberapa aset pertahanan udara di landasan terbang atau tarmac di MIEC Langkawi sempena LIMA'23 hari ini. - Foto Bernama

LANGKAWI - [DIKEMAS KINI] Selepas empat tahun penganjuran terakhir Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA), edisi ke-16 tahun ini kembali membawa keceriaan kepada penduduk tempatan dan orang luar peminat LIMA yang sentiasa menantikan kehadiran acara bertaraf antarabangsa itu.

Hari pertama segmen aeroangkasa dibuka kepada umum hari ini, menyaksikan orang ramai telah mula beratur panjang sejak 7.30 pagi bagi memasuki pekarangan Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) di sini dan ketika pertunjukan udara sempena LIMA'23, terpancar riak wajah yang takjub menandakan keterujaan mereka untuk merasai pengalaman melihat sendiri aksi aset-aset udara yang dipertontonkan selain pameran yang diadakan.

Iklan
Iklan

Seorang guru Mohamed Ali Zahari Al-Hafiz, 46, yang merupakan peminat tegar LIMA berkata, beliau memang sentiasa menantikan penganjuran acara dwitahunan itu untuk menyaksikan pertunjukkan udara oleh kumpulan aerobatik kesukaannya iaitu Russian Knights.

Beliau yang berasal dari Taiping, Perak turut berkongsi kekecewaanya apabila penganjuran program itu tertangguh akibat pandemik Covid-19 pada edisi 2021 namun berasa ceria apabila mendengar khabar mengenai penganjuran semula LIMA.

Iklan

"Saya kalau ikut memang tak pernah missed datang ke acara LIMA ni sejak 2011 lagi, dah macam jadi acara tahunan bagi kami sekeluarga untuk datang dan tengok persembahan dan pameran yang disediakan," katanya ketika ditemui di perkarangan MIEC bersama ahli keluarganya.

Tinjauan Bernama turut mendapati walaupun cuaca panas dan kemudiannya disusuli hujan renyai sebelum Langkawi kembali disinari bahang terik, orang ramai masih setia untuk menonton pertunjukkan udara yang disediakan.

Iklan

Persembahan aerobatik yang berlangsung kira-kira sejam lebih pada hari ini dimulakan oleh pasukan Black Eagles dari Korea Selatan diikuti oleh pasukan Jupiter (Indonesia), SU-300MKM Flanker (Malaysia), Russian Knights (Rusia) dan F/A-18D Hornet (Malaysia).

LIMA'23 berlangsung selama lima hari iaitu tiga hari pertama 23 Mei hingga 25 Mei hanya dibuka kepada pelawat perdagangan manakala hari ini dan esok (27 Mei) dibuka kepada orang awam.

Sementara itu, warga Jerman Gregor Verstraelan, 45, yang menghabiskan tiga hari pertamanya sebagai pelawat komersial pada acara itu, berkongsi pengalaman sulungnya di LIMA'23 dengan menyatakan ia sangat mengagumkan melihat begitu ramai pelawat.

"Saya seronok berada di sini dan ini adalah kali pertama saya mengikuti LIMA selepas ia terhenti akibat pandemik dan sangat menggembirakan untuk melihat semua orang datang bersama keluarga dan bergembira meluangkan masa bersama-sama," katanya.

Kelihatan sedang menguji model senjata di reruai Sarsilmaz sebuah syarikat persenjataan dari Turkiye, Joshua Lim Kok Hua, 31, berkata LIMA'23 menjadi destinasi yang terbaik untuk beliau meluangkan masa bersama keluarganya selain dapat menikmati keindahan Pulau Permata Kedah ini.

"Seronoklah datang sini dapat bawa anak-anak buah saya lihat sendiri barang-barang (pameran) yang unik dan kita juga dapat mendedahkan mereka kepada budaya orang luar yang bukan dari negara kita," katanya yang ditemani isterinya Catherine Khor Hooi Phing dan tiga anak saudara.

Hamzah Osman, 60, seorang wartawan sambilan bagi agensi media tempatan yang sudah 16 kali membuat liputan LIMA sejak penganjuran pertama pada 1991 berkata, walaupun suasana berbeza dengan pengalamannya yang terdahulu namun sambutan masih amat memberangsangkan.

"Pertunjukkan (LIMA '23) memang menarik dan disertai oleh pasukan aerobatik yang hebat dan sejak hari pertama malah sejak latihan lagi orang ramai dah mula berkampung di tempat-tempat strategik seperti Bukit Pemandangan Indah, hadapan Pusat Latihan Polis (Pulapol) Langkawi dan pelbagai lagi hotspot.

"Dan bila dah diuar-uarkan dengan lebih awal pasukan aerobatik akan menyertai LIMA, orang ramai pun teruja... jadi dah terbukti pada hari terbuka untuk orang awam ini jalan sesak sampai (sepanjang) lima kilometer, kita pun lihat orang beratur panjang sejak awal pagi tadi orang teruja rata-rata di persekitaran lapangan kapal terbang ni pun orang ramai," katanya.

Osman yang menetap dan bertugas di pulau peranginan ini turut berkata, penganjuran LIMA sememangnya sentiasa dinantikan oleh penduduk tempatan kerana kemampuan program bertaraf antarabangsa itu untuk membuka pelbagai peluang pendapatan.

"...selalunya LIMA ini membawa ekonomi kepada penduduk tempatan, jadi bila takda LIMA dulu (akibat pandemik Covid-19 pada 2021) pendapatan penduduk pun terganggu...kita tak boleh nak kata apalah waktu tu," katanya.

Penganjuran LIMA'23 kali ini membabitkan dua kementerian iaitu Kementerian Pertahanan (sektor pertahanan) dan Kementerian Pengangkutan (sektor komersial). - Bernama