Kartunis hasilkan buku Sketch Pekan

Iklan
Aza memaparkan suasana,budaya,tarikan yang terdapat di Pekan dalam buku tersebut.

JERANTUT - Biarpun tidak lagi berkarya di majalah namun kartunis terkenal tanah air, Aza tetap muncul dengan karya terbarunya.

Aza atau nama sebenarnya Abdul Razak Sofhi @Subhi berkongsi buah tangannya iaitu Sketch Pekan yang mengandungi lakaran mengenai bandar diraja Pahang, Pekan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, idea menghasilkan buku lakaran bergambar itu untuk memberi kelainan serta mempelbagaikan produk cenderamata kepada pelancong yang datang ke Pekan.

"Selain itu hasil lukisan ini juga bagi mengasah kemahiran yang saya ada,” kata penerima anugerah Ikon Kartunis Pahang 2019 itu.

Iklan

Kartunis berusia 56 tahun itu berkata, Pekan kaya dengan tempat sejarah, alam semulajadi dan cerita legenda yang menarik untuk dikongsi bersama pelancong.

"Selain lakaran tentang budaya, bangunan dan sejarah setempat buku lakaran hitam putih ini juga memaparkan pembangunan Pekan dahulu dan sekarang,” katanya ketika ditemui di Galeri Kartun di Taman Wawasan, di sini baru-baru ini.

Iklan
Aza mengambil masa tiga bulan untuk menyiapkan lakaran buku Sketch Pekan.

Lukisan Aza yang kebanyakannya tanpa dialog itu boleh dijadikan bukti bahan sejarah kerana lakarannya halus dan teliti terutama bentuk bangunannya.

Ternyata lakarannya sama seperti yang asal.

Kartunis yang menetap di Jerantut itu sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk mencetak buku 100 muka surat berkenaan kerana minat mendalam tentang sejarah Pahang.

"Setiap kali ke Pekan saya sering melihat pembangunan yang pesat berlaku di sana. Saya juga seronok melawat banyak tempat sejarah dan lokasi pelancongan di daerah itu,” katanya.

Minat terhadap sejarah mendorong Aza melakukan kajian mengenai daerah yang dikenali sebagai bandar diraja itu. Bekas kartunis majalah humor itu juga mengakui gemar merakam gambar lokasi menarik.

"Saya mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk menyiapkan lakaran dan kajian tentang daerah Pekan. Saya banyak membuat rujukan di perpustakaan supaya hasilnya lebih baik.

"Saya suka melihat tempat-tempat menarik kemudian menterjemahkan dalam bentuk lukisan,” katanya.

Bagaimanapun menurut Aza, walaupun hanya lakaran tetapi setiap hasilnya berdasarkan situasi sebenar seperti gambar bangunan, tempat sejarah dan lokasi sesuatu kawasan itu. Katanya, buku itu adalah buah tangan keduanya selepas buku lakaran bergambar tentang daerah Jerantut yang mendapat sambutan daripada peminatnya.

"Saya membuat buku dalam bentuk lakaran kartun untuk menarik golongan muda khususnya pelajar yang kurang minat membaca,” kata anak peneroka Felda Padang Piol itu.

Menelusuri sejarah pembabitan Aza sebagai kartunis, namanya dikenali peminat kartun tempatan terutamanya majalah Gila-Gila dan Humor.

Biarpun tanpa dialog, peminat boleh memahami dan terhibur dengan mesej yang ingin disampaikan menerusi karya yang dihasilkan oleh penerima Anugerah Tokoh Kartunis Rumah Kartun dan Komik Malaysia (RKKM) 2019 itu.

Ditanya perancangannya selepas ini, beliau berhasrat untuk membuat buku lukisan lakaran untuk semua 11 daerah di Pahang dan sedang mengumpul bahan untuk daerah Kuantan dan Temerloh.

Menurutnya, buku lakaran daerah Pekan itu berharga RM12 dan dijual di kedai buku serta tempat pelancongan.

"Selain itu, saya menjual secara talian di Facebook dengan harga RM20 termasuk kos pos,” katanya.