SHAH ALAM – Sharp Corporation melancarkan model televisyen terkini dan tercanggihnya, SHARP AQUOS XLED di rantau Asia, Timur Tengah dan Afrika, di Osaka, Jepun baru-baru ini.
Model televisyen terbaharu yang menggabungkan ciri terbaik televisyen jenis LCD serta OLED itu, dipasarkan secara rasmi meliputi di Malaysia, Thailand, Singapura, Vietnam, Indonesia, Filipina, Bangladesh, Taiwan, Timur Tengah dan Afrika.
President Sharp Corporation’s TV Systems Business Unit, Hirofumi Okamoto, berkata, televisyen terbaharu itu merupakan versi peningkatan AQUOS XLED yang telah diperkenalkan di Jepun pada 2021.
Menurutnya, sebagai jenama TV nombor satu di Jepun, Sharp menyasarkan untuk menyumbang kepada pertumbuhan industri dengan sentiasa mengembangkan teknologi dan membangunkan inovasi baharu pada masa hadapan.
"Kami amat teruja untuk memperkenalkan generasi baharu teknologi AQUOS XLED di rantau Asia, Timur Tengah dan Afrika.
"Pada tahun yang akan datang, kami akan terus mempromosikan produk televisyen kami di pasaran-pasaran ini supaya SHARP terus menjadi jenama yang dekat di hati kalangan pengguna,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
SHARP AQUOS XLED 4K model 65 inci boleh dibeli dengan harga RM15,999 dan orang ramai boleh melihat keunikannya di rangkaian pengedar secara dalam talian serta di premis jualan sah.
Selain itu, pelanggan yang membeli televisyen baharu ini akan menerima dron DJI Mini 3 bernilai RM2,399 secara percuma.
SHARP AQUOS XLED mampu memberi takrifan generasi televisyen terkemuka menerusi sentuhan reka bentuk artistik selain inovasi hebat yang membolehkan pengguna menikmati pengalaman tontonan menyamai paparan sebenar dan mencapai tahap baharu.
Ia juga terbukti sebagai keluaran terbaik SHARP dalam segmen 4K dengan memaparkan paparan gambar serta audio terbaik.