PASIR PUTEH - Tok Aman Bali Beach Resort (TABBR) mengedarkan risalah mengajak para peniaga dan pengunjung Pantai Bisikan Bayu, Semerak di sini untuk kekal menjaga kebersihan kawasan tarikan pelancongan itu.
Pengurusnya, Wan Karimah Wan Mohamed Noor berkata, inisiatif itu merupakan usaha untuk mendidik para peniaga dan pengunjung supaya tidak membuang sampah merata-rata sehingga 'mencacatkan' keindahan pantai tersebut.
"Saya harap semua pihak dapat menyokong usaha ini. Marilah sama-sama kita mengikut peraturan dengan membuang sampah di dalam tong yang telah disediakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya ketika pemberita.
Ujarnya, kebersihan Pantai Bisikan Bayu itu membawa imej negeri ini di mata masyarakat seluruh negara.
Wan Karimah berharap selepas ini tiada lagi pihak yang membuang sampah merata-rata seolah-olah menjadikan kawasan itu sebagai tapak pelupusan.
"Disebabkan masalah ini kami (TABBR) terpaksa mengadakan gotong-royong khas yang membabitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan untuk membersihkan persekitaran pantai terutama pada musim cuti perayaan dan cuti umum.
"Kerja pembersihan di persekitaran yang terdekat dengan resort dibersihkan petugas setiap hari. Manakala, gotong-royong di sepanjang laluan masuk diadakan paling kurang dua kali sebulan,” katanya.
Sebelum itu, Sinar Harian pada 15 Mei lalu melaporkan selepas seminggu berlalu, Pantai Bisikan Bayu masih lagi 'dihiasi' dengan timbunan sampah-sarap sekali gus mencacatkan keindahan lokasi tersebut sebagai tarikan pelancong.
Tinjauan Sinar Harian pada Isnin mendapati keadaan di sini tiada sebarang perubahan dan persekitaran itu seolah-olah sudah sebati dengan pengunjung.