Pengurusan kes rayuan Peter Anthony pada 28 Julai

Iklan

PUTRAJAYA - Rayuan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony untuk mengetepikan sabitan, hukuman penjara dan denda terhadap pertuduhan memalsukan surat berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan, ditetapkan untuk satu lagi tarikh pengurusan kes, pada 28 Julai.

Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Nurul Azrina Mohamed Yusof menetapkan tarikh pengurusan kes berikutnya itu, disebabkan rekod rayuan belum dapat disiapkan.

Iklan
Iklan

Pengurusan kes rayuan Peter sebelum ini ditetapkan hari ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Fairuz Johari yang mewakili pihak pendakwaan mengesahkan tarikh pengurusan kes itu.

Iklan

April lepas Peter, 51, memfailkan rayuan kepada Mahkamah Rayuan bagi mengetepikan sabitannya, hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 atau penjara 15 bulan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen di sini pada 26 Mei 2022.

Beliau gagal sebelum ini dalam rayuannya itu di Mahkamah Tinggi, pada 18 April lepas, dan ini merupakan rayuan terakhir Peter di Mahkamah Rayuan.

Iklan

Menurut kertas pertuduhan, Peter sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 iaitu memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.

Dia didakwa memalsukan surat mengenai kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrik (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014, mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Bagaimanapun, Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) itu telah membayar denda RM50,000 berkenaan. - Bernama