Kes Rafizi: Rayuan Sapura Energy Bhd didengar 8 Ogos

Iklan
Rafizi - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 8 Ogos untuk mendengar rayuan oleh Sapura Energy Bhd terhadap keputusan Mahkamah Sesyen membenarkan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mendapatkan dokumen berhubung gaji dan elaun dibayar kepada Tan Sri Shahril Shamsuddin, semasa menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sapura Energy Bhd.

Peguam Rafizi, Navpreet Singh semasa mengesahkannya berkata, tarikh itu ditetapkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Rozana Husin pada prosiding pengurusan kes secara dalam talian hari ini.

Iklan
Iklan

Pada 14 April lepas Hakim Mahkamah Sesyen, Lailatul Zuraida Harron@Haron dalam membenarkan permohonan Rafizi, mengarahkan supaya syarikat berkenaan mengemukakan dokumen yang diminta oleh Ahli Parlimen Pandan itu dalam tempoh sebulan daripada tarikh keputusan (14April).

Susulan itu Sapura Energy menfailkan notis rayuan bertarikh 25 April, terhadap keputusan berkenaan.

Iklan

"Pendaftar yang arif (Rozana Husin) memberikan arahan untuk menfailkan hujah bertulis menjelang 11 Julai dan hujah jawapan menjelang 25 Julai,” kata Navpreet ketika dihubungi media.

Pada 24 November lepas, Rafizi memfailkan permohonan itu dan meminda pembelaannya yang difailkannya pada Julai tahun lepas.

Iklan

Dalam permohonan itu, Rafizi telah memohon kebenaran mahkamah untuk Sapura Energy mendedahkan pakej imbuhan dan elaun Shahril.

Shahril menfailkan saman terhadap Rafizi pada Mei tahun lepas, berikutan kenyataan Rafizi dalam tiga artikel yang disiarkan di akaun media sosialnya antara 31 Mac hingga 4 April tahun lepas.

Artikel berkenaan sebagai reaksi terhadap kewajaran menggunakan dana awam untuk menyelamatkan syarikat itu seperti yang dicadangkan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang mahu kerajaan menyuntik lebih banyak dana ke dalam Sapura Energy.

Rafizi yang membantah pandangan Najib mendakwa dana awam tidak seharusnya digunakan bagi melindungi golongan elit. - Bernama