MAJLIS Paralimpik Malaysia (MPM) pada Jumaat memperkenalkan kempen TambahEMAS Paris 2024 sebagai inisiatif mengumpul dana bagi membantu atlet dalam misi memburu pingat emas ke-10 negara pada temasya Sukan Paralimpik Paris 2024.
Presidennya, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, sebagai permulaan kempen dengan fokus utama itu dalam kerjasama antara MPM dan Health Lane Family Pharmacy akan berlangsung dari 1 Jun hingga 31 Disember depan.
Beliau berkata, dana yang dikumpul akan digunakan untuk tujuan persediaan atlet menghadapi Sukan Paralimpik Paris 2024, namun enggan menyatakan jumlah kutipan yang disasarkan.
"Ini bukan percubaan, ini satu daripada banyak kempen yang kita akan cuba selepas ini. Kita tidak meletakkan sasaran (kutipan) kerana apa yang penting adalah kesedaran untuk buka mata semua orang di luar sana yang tidak tahu pasal sukan para.
"Kalau boleh (jumlah kutipan) mesti nak paling tinggi tetapi saya harap semua orang dapat bagi sumbangan seikhlas boleh, paling penting adalah sokongan moral," katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara MPM dan Health Lane Family Pharmacy di Kuala Lumpur pada Jumaat.
Pada masa sama, Megat D Shahriman menyifatkan kempen TambahEMAS Paris 2024 dapat menampung kos yang diperlukan barisan atlet para negara sekiranya sesuatu perkara tidak diingini berlaku.
"Dengan keadaan ekonomi negara sekarang mungkin bajet (sukan para) menjadi kurang atau lebih kita tidak tahu, jadi bila adanya dana tambahan adalah untuk tampung atlet, hanya untuk atlet," katanya yang turut mengintai peluang kerjasama dengan lebih banyak sektor korporat selepas ini.
Beliau berkata, kempen itu secara tidak langsung memberi bayangan awal jumlah sasaran emas kontinjen negara di Paris selepas Malaysia setakat ini berjaya mengumpul keseluruhan enam emas masing-masing tiga pada edisi 2016 di Rio de Janeiro, Brazil dan edisi 2020 di Tokyo, Jepun.
Mengenai sasaran kontinjen negara ke temasya Suka Para ASEAN (APG) 2023 di Kemboja pada 3 hingga 9 Jun ini, Megat D Shahriman berkata, ia akan diumumkan pada Isnin depan.
Sementara itu, Pengurus Pemasaran Health Lane Family Pharmacy, Calvin Lau berkata, melalui kerjasama dengan MPM, kami mahu memberi inspirasi kepada masyarakat supaya tidak pernah putus asa dan berusaha mencapai impian mereka. - Bernama