ALOR SETAR - Pesakit buah pinggang kronik (CKD) yang enggan menjalani rawatan dialisis boleh mengundang komplikasi lebih teruk sehingga mengancam nyawa mereka.
Pakar Perunding Buah Pinggang Kedah Medical Centre, Dr Syed Faisal Taha berkata, masih terdapat pesakit yang menganggap penyakit mereka boleh sembuh dengan rawatan tradisional tanpa perlu jalani dialisis.
Menurutnya, fahaman itu ternyata belum dapat dibuktikan sehingga kini dan satu-satunya cara untuk elakkan penyakit lebih mudarat adalah dengan menjalani dialisis seperti disaran doktor.
"Kalau pesakit tu datang kepada kita dalam keadaan tak mahu terima kenyataan (perlu dialisis) keadaan dia akan lagi tenat kena masuk wad dan lebih parah sehingga perlu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU)," katanya ketika ditemui di Majlis Sambutan Hari Buah Pinggang KMC pada Jumaat.
Syed Faisal berkata, antara simptom sesorang pesakit itu perlu menjalani rawatan kecemasan adalah, kaki menjadi bengkak, kurang kencing, loya dan muntah.
"Paling merisaukan apabila garam dan Potasium dalam badan menjadi tinggi ia akan menyebabkan jantung pesakit berhenti secara tiba-tiba dan boleh mengundang maut.
"Jadi sebaiknya ikut arahan doktor, lagipun rawatan dialisis akan memastikan kualiti hidup pesakit lebih baik berbanding sebelum ini," katanya.
Bagaimanapun, Syed Faisal yang terlibat dalam bidang ini sejak 2007 berkata, pesakit masih boleh melambatkan rawatan dialisis sekiranya penyakit mereka dapat dikawal di peringkat awal.
"Sebab itu kalau pesakit dah ada risiko buah pinggang akan rosak, dah tahu kita ada kencing manis dan darah tinggi maka perlu dijaga dari awal.
" Insya-ALLAH dengan rawatan tertentu kita dapat kurangkan kebocoran protein. Kajian menunjukkan jika tanpa rawatan pesakit akan lebih awal perlu dialisis, kalau ada rawatan Insya-ALLAH dialisis boleh dilambatkan sehingga lapan tahun," katanya.
Ujarnya, bagi orang ramai yang risau akan risiko penyakit buah pinggang, mereka digalakkan menjalani saringan kesihatan di peringkat awal.
" Terutamanya yang berusia 40 tahun keatas, sebab buah pinggang pun ada penuaan, bila makin tua pasti ada sesuatu yang berlaku di organ terbabit.
" Kalau tahu keluarga ada sakit kencing manis dan darah tinggi, kita juga perlu buat saringan kesihatan supaya sebarang penyakit boleh dikesan lebih awal dan yang paling penting saya hendak tekankan elakkan juga ubat tahan sakit ia tidak baik untuk buah pinggang," katanya.