MyAirline siasat isu pemakaian tali pinggang keledar bayi

Iklan
Lelaki itu mendakwa mereka diarah keluar dari pesawat sekiranya anaknya enggan duduk di kerusi penumpang.

SHAH ALAM - Syarikat penerbangan MYAirline sedang menyiasat insiden pemakaian tali pinggang keledar bayi membabitkan salah seorang penumpangnya.

Ia susulan dakwaan pengalaman yang kurang memuaskan sewaktu pelanggan berkenaan menaiki pesawat itu.

Iklan
Iklan

MYAirline dalam satu kenyataan memaklumkan, mereka menyediakan tali pinggang keselamatan tambahan untuk bayi, sejajar dengan keperluan keselamatan yang telah ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

"Berdasarkan garis panduan kanak-kanak berumur 24 bulan dan ke bawah wajib dipangku oleh penjaga serta memakai tali pinggang tambahan.

Iklan

"Namun, bagi kanak-kanak berumur 24 bulan dan ke atas perlu memakai tali pinggang keselamatan di tempat duduk mereka atas tujuan keselamatan,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Baru-baru ini, seorang individu yang menaiki penerbangan dari Langkawi ke Kuala Lumpur bersama isteri dan dua orang anak mendakwa mengalami pengalaman buruk apabila kru kabin dikatakan tidak memberi tali pinggang tambahan kepada anaknya yang berusia 2 tahun.

Iklan

Menurutnya, kejadian itu menyebabkan mereka diarah keluar dari pesawat sekiranya kanak-kanak itu enggan duduk di kerusi penumpang.

Menerusi hantaran di Facebook, bapa kepada kanak-kanak itu menyatakan kecewa dengan perkhidmatan yang diberikan oleh pihak syarikat berkenaan dan sehingga kini masih tiada maklum balas daripada mana-mana pihak.

Sementara itu, menurut MYAirline, mereka begitu kesal dengan kejadian tersebut dan memohon maaf kepada penumpang itu yang terkesan dengan perkhidmatan penerbangan kurang memuaskan.

"Kami sedang menyiasat untuk mengenal pasti jurang perkhidmatan agar dapat membuat tindakan yang sepatutnya supaya situasi ini tidak akan berulang di masa hadapan.

"Kami mengutamakan keselamatan dan kepuasan setiap penumpang khususnya kepada penjaga, ibu bapa yang melancong bersama anak-anak,” katanya.