SEOUL - Seorang penumpang Asiana Airlines bertindak 'berani mati' apabila membuka pintu kecemasan ketika pesawat mahu mendarat pada Jumaat.
Jurucakap syarikat penerbangan itu memaklumkan, pesawat Airbus A321-200 itu membawa hampir 200 penumpang semasa ia menghampiri landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Daegu di Korea Selatan.
"Ketika ia mencecah ketinggian 200 meter, seorang penumpang yang duduk berhampiran pintu kecemasan bertindak membuka pintu secara manual dengan menyentuh tuil," ujarnya.
Insiden itu menyebabkan beberapa penumpang mengalami kesukaran untuk bernafas dan seramai 12 mangsa terpaksa dihantar ke hospital sejurus pesawat yang membawa penerbangan domestik itu selamat mendarat.
Susulan itu, seorang lelaki berusia dalam lingkungan 30-an telah ditahan untuk disoal siasat berhubung perbuatannya yang melanggar undang-undang keselamatan penerbangan.
'Di bawah undang-undang berkenaan, mana-mana individu yang membuka pintu pesawat tanpa kebenaran boleh dihukum penjara maksimum sehingga 10 tahun," jelasnya lagi.
Rakaman kejadian itu turut dikongsikan beberapa penumpang dan disiarkan secara langsung oleh agensi berita Yonhap.
Seorang penumpang berusia 44 tahun berkata, keadaan menjadi huru-hara selepas pintu itu dibuka.
"Ada penumpang yang lari bertempiaran di lorong kerana panik dan mereka yang duduk berhampiran pintu berkenaan jatuh pengsan," katanya. - AFP