LANGKAH beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik terhenti di peringkat suku akhir Masters Malaysia 2023 selepas tewas 18-21, 19-21 kepada Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin di Axiata Arena, Bukit Jalil sebentar tadi.
Aaron-Wooi Yik yang turun dengan reputasi selaku juara dunia gagal menyaingi lawan mereka dari Indonesia itu yang menampilkan corak permainan agresif sepanjang perlawanan berlangsung.
Kekalahan itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik gagal untuk sekurang-kurangnya menyamai pencapaian pada edisi tahun lalu apabila mereka mara sehingga peringkat separuh akhir.
Ketika itu, Aaron-Wooi Yik tumbang di tangan beregu Indonesia yang kini berstatus nombor satu dunia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.
Terdahulu, beregu muda lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun memahat sejarah tersendiri apabila mengejutkan gandingan handalan dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan.
Wei Chong-Kai Wun yang juga gandingan nombor 26 dunia menumbangkan bekas juara dunia itu dengan kemenangan straight-set 23-21, 21-17 pada aksi suku akhir.
"Kami sangat gembira dengan kemenangan ini tetapi ia tidak bermakna kami boleh selesa kerana banyak lagi perlu dilakukan menentang beregu-beregu lebih hebat," kata Kai Wun selepas tamat perlawanan.
Wei Chong pula gembira dengan prestasi dan persefahaman antara mereka dalam aksi itu sambil mengharapkan kejayaan tersebut menjadi pembakar semangat untuk mara ke final Masters Malaysia kali ini.
"Kejohanan ini adalah permulaan kejayaan dalam karier kami. Namun, kami perlu terus kerja keras dan tidak boleh cepat gembira dengan kejayaan ini," jelasnya.
Dalam aksi separuh akhir pada Sabtu, Wei Chong-Kai Wun dijadualkan menentang Leo Rolly-Daniel.
Satu lagi wakil negara dalam acara beregu lelaki, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi pula gagal melangkah ke separuh akhir selepas tewas 21-15, 16-21, 14-21 kepada gandingan Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae.