Sebulan di Kelantan, cukup duit belanja di kampung

Iklan
Kak Rah membawa barangan jualan di kawasan kampung di sekitar bandar Kota Bharu.

KOTA BHARU - Demi kelangsungan hidup, segelintir warga emas dari Thailand sanggup datang ke negeri ini untuk mencari rezeki dengan berniaga makan ringan dan kerepak sebelum pulang semula ke kampung halaman mereka.

Rata-rata merupakan penoreh getah di tempat asal mereka dan hanya berniaga selama sebulan sebelum pulang semula ke kampung untuk berehat.

Iklan
Iklan

Seorang peniaga kerepek warga emas yang dikenali sebagai Kak Rah berkata, walaupun nilai mata wang di Malaysia lebih murah tetapi dia tetap memilih untuk berniaga di sini.

Wanita berusia 61 tahun itu mendakwa, harga getah yang murah di Thailand antara sebab dia mencari jalan berniaga di sekitar bandar di Kota Bharu.

Iklan

"Sekurang-kurangnya saya masih boleh mendapat rezeki untuk berbelanja di kampung dan tidak perlu bersusah-payah menoreh getah atau meminta wang anak-anak," katanya.

Jelasnya, mereka akan membeli beberapa jenis makanan ringan termasuk kerepek pisang, baulu, kerepek ubi, keropok dan makanan ringan lain di Pasar Siti Khadijah dan menjualnya semula kepada orang ramai.

Iklan

Selain itu, katanya, mereka juga turut menyewa kereta pada kadar RM25 untuk menghantar dan mengambil di kawasan kampung dan lokasi yang dipilih.

"Biasanya selepas tiga hari saya akan membeli lagi makanan sama untuk dijual," ujarnya.

Bagaimanapun, Kak Rah mengakui bukan mudah bekerja dalam situasi 'haram' kerana ada ketikanya dia terpaksa berkurung bagi mengelak ditahan penguat kuasa kerana tiada permit berniaga.

"Pada Ramadan lalu kami terpaksa berhimpit sehingga 40 penyewa dalam sebuah rumah," katanya.

Ketika itu katanya, ramai penduduk miskin di beberapa daerah di Thailand datang untuk meminta zakat dan sumbangan Hari Raya Aidilfitri.

Dia yang tinggal di sebuah kampung di Pattani juga pernah sampai ke Shah Alam untuk berniaga kerepek tetapi tidak lama kerana dilanda pandemik Covid-19.

Sementara itu, rakannya yang dikenali sebagai Kak Nab, 60-an pula memberitahu, dia sudah lebih enam tahun berniaga dan berulang-alik dari Songkhla ke Kelantan.

Katanya, rutin setiap hari ialah berjalan mencari pelanggan di kawasan kampung dan ada sasaran jualannya.

Kak Nab yang sudah kematian suami beberapa tahun lalu gembira mencari rezeki di bandar Kota Bharu.

"Saya datang ke sini dengan hanya fokus berniaga dan pulang ke kampung untuk berehat beberapa bulan sebelum kembali semula ke sini," jelasnya.

Wanita itu juga mengakui terpaksa bertahan walaupun penat membawa barang demi mencari rezeki.

"Memang penat pada mulanya tetapi Alhamdulillah ia berkurangan jika barang dibeli pelanggan," katanya.