Rezeki penjaga kubur, sumbangan tidak pernah putus

Iklan
Rutin pagi Mohd Fairol membersihkan kawasan kubur.

KOTA BHARU - Keikhlasan bekerja sebagai penjaga kubur memberi rezeki kepada Mohd Fairol Hassan, 42, apabila ada yang selalu memberi sumbangan dan upah secara peribadi.

Mohd Fairol yang sudah tiga tahun menjaga Tanah Perkuburan Islam Bunut Payong berkata, walaupun tidak banyak tetapi mampu menyara hidupnya bersama ibu yang sudah tua, Wan Salmor Wan Mat, 72.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ada waris individu yang meninggal dunia meminta khidmatnya membersihkan kubur setiap hari dengan memberi sumbangan tertentu.

"Mereka juga gembira kerana tanah perkuburan seluas lebih 0.4 hektar itu sentiasa bersih dan terjaga selain keadaan pokok serta bunga hidup subur.

Iklan

"Ada yang meminta nasihat saya untuk memilih pokok sesuai ditanam di atas tanah perkuburan supaya tahan lama dan mengelakkan kepok rosak," katanya ketika ditemui di tanah perkuburan itu pada Jumaat.

Mohd Fairol

Jelas Mohd Fairol, pengalamannya sebagai penggali kubur lebih 10 tahun lalu digunakan sepenuhnya untuk memanfaatkan kerja di tempat sama.

Iklan

"Ketika itu saya hanya bekerja sambilan dan kemudian diminta pihak pengurusan Masjid Bunut Payong untuk menjadi penjaga kubur sepenuh masa dengan bayaran RM800," katanya.

Mohd Fairol mendakwa, tanah perkuburan yang sudah wujud kira-kira 50 tahun itu kini mempunyai lebih 1,000 kubur yang turut menyemadikan golongan kenamaan dan ahli keluarga pahlawan Mat Kilau.

Bagaimanapun anak kesembilan daripada 12 beradik itu memberitahu, sepanjang melakukan kerja menggali kubur, dia belum pernah mengalami sebarang perkara mistik di situ.

"Ada waris yang menziarahi dan membaca al-Quran pada waktu malam kerana pihak pengurusan masjid memasang lampu limpah untuk kemudahan mereka," katanya.

Cuaca panas ketika ini memerlukan siraman bunga dua kali sehari.

Mohd Fairol yang masih bujang memulakan kerja seawal jam 8.30 pagi dengan mencabut rumput dan menyapu daun kering sehingga jam 11 pagi.

Dia akan kembali bekerja selepas solat Asar kerana perlu menyiram bunga dua kali sehari terutama ketika cuaca panas selain membetulkan kepok kubur atau batu nisan.

Sebagai penduduk tempatan, Mohd Fairol bersyukur kerana diberi peluang menjaga tanah perkuburan itu yang turut menempatkan jenazah ahli keluarganya iaitu adik, abang dan bapanya.

"Setiap hari saya berpeluang 'bertemu' mereka dan bersedekah ayat suci al-Quran sebelum memulakan tugas dengan harapan ada yang melakukan perkara sama jika saya tiada satu hari nanti," katanya.