KUALA LUMPUR - Syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd merasmikan taman sukan dan rekreasinya, IWK Eco Park di Pantai Dalam di sini.
Terletak kira-kira 10 kilometer dari pusat bandar raya Kuala Lumpur IWK Eco Park seluas 12 hektar itu menawarkan pelbagai kemudahan malah memberi manfaat kepada penduduk setempat.
Antara kemudahan yang disediakan adalah dewan komuniti serbaguna, bilik mesyuarat, kawasan untuk berkelah, trek joging dan trek berbasikal serta pelbagai kemudahan sukan lain.
Lebih menarik taman sukan dan rekreasi tersebut turut menggabungkan seni landskap dan reka bentuk kejuruteraan berserta pelbagai kemudahan yang dikelilingi dengan kehijauan alam.
Malah taman awam itu menjadi pilihan Menteri Komunikasi dan Digital, yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil untuk menjalankan pelbagai aktiviti bersama komuniti setempat.
"IWK Eco Park sering menjadi pilihan bagi saya menjalankan apa juga aktiviti kemasyarakatan bersama rakyat di sini sejak saya memegang amanah sebagai ahli Parlimen pada tahun 2018.
"Ruang ini sesuai untuk semua jenis aktiviti dan saya ingin mengucapkan tahniah kepada IWK atas segala inisiatif yang telah dan akan dijalankan di IWK Eco Park @ Pantai Dalam," kata Fahmi.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian IWK Eco Park @ Pantai Dalam di sini pada Jumaat malam yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam.
Sementara itu, Narendran pula menyifatkan majlis perasmian itu sebagai satu peristiwa penting kerana usaha penambahbaikannya hampir siap seterusnya pengunjung dapat merasai pelbagai pengalaman menarik di situ.
Beliau menjelaskan kemudahan awam berkenaan dibina di atas loji rawatan air kumbahan berpusat yang dikenali sebagai Loji Rawatan Kumbahan Serantau, Pantai 2.
"Loji serantau ini adalah loji rawatan kumbahan bawah tanah dan yang terbesar di rantau Asia Pasifik.
"Loji ini berupaya memproses air kumbahan daripada kira-kira 1.43 juta penduduk setara atau lebih tepat hampir sebahagian besar penduduk di kawasan Kuala lumpur dan sebahagian daripada Petaling Jaya," katanya.
Katanya lagi, tanah keseluruhan untuk kompleks loji serantau Pantau 2 adalah seluas 17 hektar, iaitu merangkumi keluasan Eco Park yang seluas 12 hektar.
"Apa yang menarik di taman ini adalah ianya disediakan sebagai satu pusat sukan dan rekreasi setempat di mana terdapat pelbagai kemudahan.
"Pastinya, tiada lagi perasaan tidak senang bila orang ramai mendekati loji rawatan kumbahan kerana, bila anda di sini, mungkin anda tidak terfikir pun yang anda sedang berada di atas atau berdekatan loji kumbahan," katanya.
Pada 2017, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ditugaskan untuk mengendali dan menguruskannya manakala IWK diberi fokus kepada operasi dan penyelenggaraan loji.
Bagaimanapun pada Oktober 2020, DBKL telah menyerahkan kembali pengurusan Eco Park kepada IWK dan ketika itu, negara dilanda pandemik, dan taman berkenaan terpaksa ditutup.
Menurut Narendran, walaupun tidak dapat beroperasi ketika itu, IWK Eco Park @ Pantai Dalam masih mampu menyumbang dan membantu kerajaan dengan menjadikan taman itu sebagai lokasi bagi pusat saringan dan pemberian vaksin Covid-19.
"Selain itu, dewan serbagunanya juga turut dipilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai salah satu pusat pengundian bagi Pilihan Raya Umum pada 2022 yang lalu," katanya.
Narendran berkata, IWK Eco Park @ Pantai Dalam akan terus bersedia memberikan ruang kepada orang awam, agensi kerajaan, syarikat swasta atau individu untuk berhubung antara satu sama lain.
"Kami turut komited dalam menjayakan konsep Malaysia Madani melalui penyediaan tapak perniagaan bagi memberi peluang kepada peniaga kecil menjana pendapatan di sini," tambahnya.
Untuk maklumat lanjut mengenai IWK Eco Park @ Pantai Dalam atau tempahan bagi kemudahan sukan atau rekreasi, sila layari www.ecopark.iwk.com.my atau hubungi 03-22 420420.