SKUAD hoki remaja negara diingatkan supaya tidak meletakkan diri dalam zon selesa selepas meraih dua kemenangan menyakinkan dalam aksi Kumpulan B Piala Remaja Asia 2023.
Malah biarpun pengendali The Young Tigers, Muhamad Amin Rahim menyifatkan kemenangan besar ke atas Uzbekistan dan Bangladesh adalah hasil usaha keras setiap pemain, namun ujian paling lebih getir apabila berdepan pasukan Korea Selatan Sabtu ini.
Sebaliknya Muhamad Amin menegaskan berdepan Korea Selatan pada Sabtu merupakan cabaran sebenar buat para pemain negara dalam menterjemahkan kekuatan The Young Tigers.
"Alhamdulillah, dua kemenangan yang diharapkan dalam perlawanan awal kumpulan telah berjaya dilunaskan, namun perjalanan kejohanan masih panjang.
"Pastinya dapat dilihat prestasi setiap pemain semakin meningkat ditambah dengan keyakinan tinggi untuk turun dalam setiap perlawanan.
"Biarpun begitu cabaran pasukan sebenarnya adalah berdepan Korea Selatan yang juga bukan lawan mudah tambahan pula selepas mereka menang dua perlawanan peringkat kumpulan.
"Kemenangan besar Korea Selatan 8-1 ke atas Oman, harus diberikan perhatian setiap pemain untuk lebih berdisiplin.
"Biarpun begitu kita akan menganalisa kekuatan dan kelemahan pasukan Korea Selatan serta menyusun strategi terbaik menjelang aksi berdepan mereka,” katanya kepada Sukan Sinar.
The Young Tigers meneruskan rentak cemerlang aksi Kumpulan B Piala Remaja Asia 2023 apabila melakar kemenangan kedua dengan mengatasi Bangladesh, 5-1 di Kompleks Belia Sultan Qaboos, Salalah, Oman pada Khamis.
Keputusan itu meneruskan momentum cemerlang anak buah Muhamad Amin yang menyingkap tirai kempen dengan kemenangan bergaya 8-1 ke atas Uzbekistan sebelum ini.
Mengulas mengenai keadaan cuaca panas di Oman, Muhamad Amin Rahim berkata,"Cuaca bukan alasan, Kita menentang lawan yang berbeza pada setiap perlawanan dengan kekuatan yang juga berbeza.
"Namun kemenangan itu lebih penting dan paling utama saya tekankan kepada para pemain adalah untuk mengekalkan tahap konsistensi persembahan pasukan setiap kali kerana percaya elemen itu akan diterjemahkan dalam bentuk jaringan menerusi persembahan baik mereka.”
PIALA DUNIA REMAJA 2023
Kumpulan B
SABTU (27 MEI)
Malaysia lwn Korea Selatan, 1 petang
SELASA (30 MEI)
Malaysia lwn Oman, 12.30 tengah malam