JOHOR BAHRU - Lebih 200 penduduk bimbang dengan keadaan tebing jalan yang runtuh di Jalan Bakawali 25, Taman Johor Jaya dekat sini sejak kira-kira empat bulan lalu.
Seorang penduduk, Ismail Mohd Asri, 65, berkata, keadaan tebing jalan yang runtuh bersebelahan rumah penduduk itu berbahaya dan mengancam keselamatan.
"Kami sudah membuat aduan beberapa bulan lalu kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) namun sehingga kini tiada tindakan dilakukan.
"Kami dapati runtuhan tebing jalan itu semakin teruk dan bimbang keselamatan penduduk serta pengguna jalan raya terutama pada waktu malam kerana laluan ini gelap," katanya ketika ditemui pemberita pada Sabtu.
Dia berkata, sebelum ini seorang kanak-kanak mengalami kecederaan setelah terjatuh ke dalam lubang di laluan berkenaan ketika menunggang basikal dan bimbang kejadian seumpama itu berulang pada masa depan.
Seorang lagi penduduk, M Maran, 70, berkata, PBT seharusnya bertindak segera sebelum terlambat dan akibat runtuhan berkenaan, sistem saliran juga terjejas hingga mengakibatkan air bertakung ketika hujan.
Rosini Dugel, 63, pula berharap, PBT dapat turun dan melihat sendiri keadaan jalan terbabit termasuk keadaan sistem saliran di kawasan perumahan yang berusia lebih 30 tahun itu.
"Terdapat air cucian dan sampah daripada warung berhampiran terus disalurkan ke longkang terbabit hingga ia mengakibatkan pencemaran bau.
"Kami juga pernah membuat aduan berkaitan perkara itu dan diharap permasalahan berkenaan juga diberi perhatian," kata warga emas itu.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Liow Cai Tung berkata, pihaknya ada menerima aduan masalah berkenaan daripada penduduk.
"Saya sudah merujuk kepada PBT dan susulan berkaitan isu berkenaan akan dilakukan," katanya ketika dihubungi.