Pusat Autisme PDRM jadi tempat rujukan khidmat nasihat

Iklan
Hussin (dua dari kiri) beramah mesra dengan keluarga yang hadir pada program Hari Autisme di Pulapol pada Sabtu.

KUALA LUMPUR - Pusat Autisme Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pengaman boleh menjadi salah satu tempat rujukan untuk khidmat nasihat dalam mengendalikan perkara berkaitan autisme.

Timbalan Pengerusi Yayasan Pengaman Malaysia yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pusat itu, Tan Sri Hussin Ismail berkata, pusat yang telah beroperasi sejak 2020 itu mampu menyediakan maklumat dan statistik terkini kepada PDRM bagi memperkasakan prosedur operasi standard (SOP).

Iklan
Iklan

"Masyarakat kurang memahami tentang autisme, autisme tidak boleh dikenal pasti secara fizikal sebaliknya ia boleh dilihat melalui komunikasi sosial dan defisit interaksi serta tindakan berulang,” katanya dalam program Hari Autisme bertemakan 'Let's Be Safe' di Pusat Latihan Polis (Pulapol) pada Sabtu.

Hussin berkata, beliau berharap program itu mencapai objektif untuk mendidik kanak-kanak austime supaya lebih berhati-hati terhadap keselamatan diri dan persekitaran mereka.

Iklan

"Saya juga berharap aktiviti yang dijalankan sepanjang program itu dapat memupuk hubungan yang lebih baik dalam kalangan agensi terlibat supaya lebih prihatin terhadap komuniti autisme," katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Yayasan Pengaman, Azura Izham berkata, Hari Kesedaran Austime sebenarnya disambut pada 2 April setiap tahun.

Iklan

"Kami memutuskan untuk menyambut Hari Austime pada hari ini kerana 2 April lalu adalah bulan Ramadan, sambutan pada kali ini agak istimewa kerana kita bekerjasama dengan tiga agensi iaitu Hospital Angkatan Tentera Malaysia, PDRM serta Jabatan Bomba dan Penyelamat," katanya.

Azura berkata, pusat itu diwujudkan bukan hanya memberikan pendidikan dan intervensi awal kepada kanak-kanak autisme.

"Kita berusaha memberikan kesedaran kepada warga PDRM dan masyarakat tentang peranan mewujudkan 'community inclusion' terhadap penerimaan kanak-kanak autisme tanpa sebarang diskriminasi," katanya.

Beliau berkata, pelbagai program yang bersifat inklusif seperti menyediakan peluang pendidikan dan pekerjaan akan memberi ruang kepada mereka menimba pengalaman dan belajar untuk hidup di dalam masyarakat.

"la akan menjadi lebih mudah sekiranya mereka diberikan intervensi awal sejak kecil supaya mereka dapat mempelajari skil yang diperlukan untuk 'community inclusion'.

"Ibu bapa juga memainkan peranan yang penting untuk meneruskan kaedah latihan kepada anak-anak austime di rumah supaya ada kesinambungan," ujarnya.