Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan tema Hari Kebangsaan

Iklan
Fahmi Fadzil (tiga dari kanan) bersama Timbalannya, Teo Nie Ching (tiga dari kiri) pada majlis pelancaran logo dan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2023 di Esplanade, Taman KLCC pada Sabtu. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] 'Malaysia Madani: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan' dipilih sebagai tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) tahun ini.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, pemilihan tema itu selari dengan tekad dan komitmen kerajaan untuk membangunkan sebuah negara dengan rakyatnya yang bersatu padu, memiliki semangat perpaduan tinggi serta hidup dalam keadaan aman dan sejahtera.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia juga didukung konsep Malaysia Madani sebagai kunci utama, yang diinspirasikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memastikan rakyat mengecapi segala bentuk kemajuan dan kemodenan berteraskan kemampanan budaya bangsa, berdaya cipta, keyakinan, kesejahteraan, hormat-menghormati dan ihsan.

"Pemilihan tema ini hasil kerjasama strategik dan kesepakatan pasukan panel pemikir terdiri daripada 16 pakar pelbagai bidang, antaranya ahli akademik, tokoh budaya, pengamal media, pertubuhan belia, pertubuhan bukan kerajaan, Dewan Bahasa dan Pustaka, ikon belia dan pempengaruh media sosial.

Iklan

"Seiring dengan aspirasi tersebut, suka saya umumkan logo Malaysia Madani turut dipilih menjadi logo rasmi sambutan HKHM 2023," katanya ketika melancarkan logo dan tema HKHM 2023 di Esplanade, Taman KLCC di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Datuk Mohd Sukari Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Roslan Ariffin.

Iklan

Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk HKHM 2023 berkata, logo yang menggambarkan"tangan yang diangkat" ialah simbolisme kepada ikrar Rukun Negara, manakala warna digunakan merupakan warna asas Jalur Gemilang, lambang kepada jati diri serta semangat patriotik rakyat Malaysia.

Sempena pelancaran hari ini, Fahmi menyeru semua pihak untuk menggunakan, memaparkan dan menularkan logo dan tema HKHM di semua platform sebagai menzahirkan tanda cinta kepada negara selain membantu usaha mempromosi dan menyebarluaskan erti sambutan HKHM tahun ini.

"Semua agensi kerajaan serta rakan-rakan sektor swasta dan NGO (badan bukan kerajaan) turut digalakkan untuk bersama-sama menzahirkan kecintaan kepada negara melalui penganjuran program-program sempena HKHM 2023 pada peringkat organisasi dan komuniti masing-masing," katanya.

Fahmi berkata, tiga aktiviti utama akan diadakan sepanjang Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia iaitu pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang pada 15 Julai di Bulatan Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak diikuti Sambutan Hari Kebangsaan yang akan diadakan pada 31 Ogos di Putrajaya dan Sambutan Hari Malaysia pada 16 September di Kuching, Sarawak. - Bernama