Warga emas trauma rumah jadi sasaran pencuri

Iklan
Liew Chan (dua dari kanan) menunjukkan bahagian kakinya yang cedera akibat ditolak salah seorang suspek yang memecah masuk rumahnya di Taman Ria Bercham Rabu lalu.

IPOH - Sepasang suami isteri hidup dalam ketakutan apabila rumah mereka di Regat Tasek Timur 20, Taman Ria Bercham dekat sini menjadi sasaran pencuri.

Rumah diduduki warga emas, Chan Liew Chan, 72, bersama suaminya, Tou Kum Hin, 80, yang juga menghidap strok dipecah masuk sebanyak tiga kali dalam tempoh tiga minggu.

Iklan
Iklan

Menurut Liew Chan, kejadian Rabu lalu memberi kesan kepadanya apabila lutut kanannya mengalami retak akibat ditolak oleh salah seorang suspek.

"Pintu bilik dipecahkan oleh dua lelaki bertopeng dan mengacukan pisau minta saya agar tidak menjerit. Dalam keadaan panik itu, saya minta mereka jangan usik suami kerana dia sakit.

Iklan

"Saya mengesyaki mereka bergerak secara berkumpulan kerana selepas mengambil beg yang mengandungi dokumen peribadi dan telefon bimbit, mereka melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta merah yang sedia tunggu di hadapan rumah," katanya kepada pemberita pada Sabtu.

Guo Nan (kanan) menunjukkan keadaan bilik mangsa yang dipecah masuk suspek baru-baru ini.

Tambahnya, dia mengesyaki suspek terlibat adalah kumpulan sama yang memecah masuk rumahnya pada 2 dan 11 Mei lalu melibatkan kerugian lebih RM26,000.

Iklan

"Banyak barangan hilang termasuk barang kemas, wang tunai, telefon bimbit dan komputer riba milik anak telah dilarikan pencuri," ujarnya.

Liew Chan berkata, setiap malam dia tidak dapat tidur lena bimbang kejadian sama berulang.

"Disebabkan kejadian itu, kami telah memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan penggera kecemasan.

"Dua hari lepas kami membayar RM300 kepada Persatuan Keselamatan Sukarela Kawasan Bercham untuk meronda di kawasan ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Perak, Low Guo Nan mengharapkan pihak polis kerap mengadakan rondaan berikutan kebimbangan orang ramai terhadap keselamatan penduduk.

"Selain itu, komuniti setempat juga dinasihatkan untuk peka dengan keadaan sekeliling dan jiran-jiran untuk menjaga keselamatan.

"Wakil rakyat seperti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli Parlimen perlu melihat keperluan penduduk yang bimbang dengan kejadian pecah masuk ini," katanya.