SHAH ALAM - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menolak tanggapan bahawa UMNO akan dibunuh oleh Pas sekiranya bersama dengan parti Melayu Islam itu.
Menurut beliau, ia merupakan satu sangkaan yang tidak berasaskan dasar perjuangan kedua-dua parti.
Sebaliknya Ahli Parlimen Marang itu percaya UMNO akan menjadi seperti semut yang mati dalam gula ditaburkan oleh Pakatan Harapan (PH) dan penyumbang rasuah yang mendukung gabungan tersebut.
"Kerana hendak menyelamatkan diri dan mengejar jawatan, maka prinsip asasi parti tidak dipedulikan dengan meninggalkan perjuangan yang menjadi asal penubuhan UMNO.
"Ahli-ahli yang menjadikan UMNO sebagai bahtera perjuangan mereka dahulunya mengikut hala tuju perjuangan agama dan bangsa, kini dialih arah perjalanannya demi menjaga kepentingan beberapa orang tertentu.
"Pas mengajak Ahli Parlimen UMNO (selepas Pilihan Raya Umum ke-15) supaya kembali kepada prinsip Islam memimpin bagi mencukupkan jumlah majoriti.
"Malangnya, pihak UMNO itu meninggalkan prinsip perjuangan mereka dan memilih jawatan yang ditawarkan oleh PH yang dikuasai oleh DAP,” dakwa beliau dalam hantaran di Facebook pada Sabtu.
Ujar Abdul Hadi, ahli UMNO yang masih setia telah diheret daripada perjuangan asal dan parti itu kini menuju ke arah jalan yang salah selagi pemimpinnya mengikut kompas DAP serta rakan sekutu.
Tambahnya, perkara tersebut dapat disaksikan apabila gambar pemimpin UMNO yang disanjung sebagai pejuang kemerdekaan ditutup dalam perhimpunan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur baru-baru ini.
"Mereka melakukan apa yang tidak diminta oleh Pas ketika himpunan bersama Muafakat Nasional (MN) di tempat yang sama.
"Ini kerana Pas mengakui tokoh-tokoh besar UMNO juga ialah pejuang menuntut kemerdekaan bersama Pas.
"Peristiwa ini menunjukkan pemimpin UMNO sudah kehilangan izzah (keperkasaan) mereka setelah meninggalkan prinsip perjuangan,” katanya lagi.