KUALA LUMPUR - Satu daripada faktor yang menyumbang kepada kemenangan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 pada 9 Mei tahun lalu ialah kreativiti calon ketika berkempen, kata Ketua Sosialis Muda DAP (DAPSY) Selangor.
Wong Siew Ki yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Balakong berkata, PH menang kerana calon-calonnya bijak menggunakan pelbagai medium untuk berkempen termasuk menggunakan lagu dan kempen dalam talian.
"Misalnya bagi DAP, anak muda memainkan peranan penting dalam pasukan kreatif. Mereka sangat peka apa yang berlaku dalam media sosial. Mereka membuat video pendek dan menyebarkannya. Mereka tahu apa yang rakyat minati," katanya dalam program Ruang Bicara bertajuk 'Setahun Malaysia Baharu: Karisma Pemimpin Muda' di Bernama News Channel di sini malam tadi.
Seorang lagi tetamu program itu, Ketua Setiausaha Pengelola PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata apabila PH menubuhkan kerajaan, perkara utama yang menjadi perkiraan ialah menggandingkan dua generasi pemimpin dalam kerajaan iaitu pemimpin muda dan mereka yang berpengalaman lama dalam pentadbiran kerajaan.
"Kita ada Tun Dr Mahathir (Mohamad) yang berumur 93 tahun, dan juga ada pemimpin muda 21 tahun. Dua generasi yang berbeza.
"Kita ada Datuk Seri Mohamed Azmin (Ali), YB Lim Guan Eng, mereka pernah mentadbir di peringkat kerajaan negeri. Kita ada ramai tokoh-tokoh dan pelapis, ada kesinambungan. Pimpinan kita ini lengkap," tambahnya.
Mengulas usaha meremajakan parti, Nik Nazmi berkata proses itu perlu dibuat secara sistematik dan terancang.
Ahli Parlimen Setiawangsa itu berkata sebarang perubahan seperti menurunkan had umur mengundi dan reformasi politik kampus perlu bermula dengan pendidikan.
"Remaja perlu tahu apa itu konsep demokrasi, perlembagaan, bagaimana konteks yang berlaku dalam negara kita supaya dengan ini mereka bebas nak pilih pemimpin atau sebagainya," katanya. - Bernama