KOTA BHARU - [KEMAS KINI] Presiden Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa meramalkan orang Melayu akan terus memberikan sokongan padu kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Beliau berkata, ramalan itu dibuat berpandukan kepada pengalaman politiknya iaitu orang Melayu tidak akan mengikut keputusan dibuat pemimpin mereka yang dilihat sudah bercanggah.
"Mereka akan fikir adakah betul tindakan itu (sokong DAP). Ada yang cakap ini strategi kerana... dalam keadaan darurat nak elak mudarat lebih besar supaya UMNO dapat kerusi lebih banyak.
"Kalau sokong Pas dan PN, nanti UMNO tidak dapat kerusi banyak. Itu satu naratif yang direka begitu, soalan saya sejak bila kita darurat? Kita ada pilihan, tapi kita (UMNO) yang tinggalkan Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan terimalah akibat itu," katanya semasa sidang akhbar di Kok Lanas di sini pada Sabtu.
Menurut beliau, UMNO boleh berpatah balik dan bersatu padu di bawah politik Melayu-Islam.
Beliau yakin orang Melayu tidak akan membiarkan diri mereka dipecah-belahkan dan diperintah oleh pemimpin.
Dalam pada itu, Annuar mengajak ahli UMNO untuk menolak parti itu pada pilihan raya akan datang selepas menjalinkan kerjasama dengan DAP menerusi pembentukan Kerajaan Perpaduan.
Beliau berkata, tindakan ahli MCA menolak parti mereka dengan tidak menyokong Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya boleh dijadikan sebagai contoh oleh ahli UMNO.
"Bila UMNO ajak ahli untuk sokong DAP, kita orang Melayu-Islam tidak perlu ragu-ragu lagi dengan tidak memberikan sokongan (UMNO).
"Mereka boleh kekal jadi ahli UMNO. Sepertimana ahli MCA, strategi mereka kekal sebagai ahli, namun menolak parti (BN) pada pilihan raya," katanya.
Menurut beliau, orang Melayu Islam sudah mempunyai wadah perjuangan iaitu Pas dan mereka boleh membantu dengan memberi undi pada pilihan raya nanti.