JOHOR BAHRU - [KEMAS KINI] Biarpun tewas pada pemilihan semula UMNO Bahagian Johor Bahru pada Sabtu, namun Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd Hairi Mad Shah mengakui tidak kecewa dengan keputusan berkenaan.
Malah menurut Exco Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri itu yang juga ADUN Larkin itu, beliau memiliki tanggungjawab lebih besar selepas ini selaku Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Naib Ketua Pemuda UMNO.
"Alhamdulillah semuanya berjalan lancar, terkawal dan terancang...tetapi ini adalah pertandingan. Kena terima kerana ini adalah sistem demokrasi yang rakyat mahukan.
"Yang kalah tetap kalah, yang memang terus menang dan yang menang harap ambil balik bagi rapatkan semula saf kepimpinan UMNO Johor Bahru yang ditanggung oleh Tan Sri Shahrir Abdul Samad selama ini.
"Walaupun tewas, saya mengambilnya sebagai satu pengajaran dan juga pengalaman," katanya.
Mohd Hairi tewas menerusi kiraan undi yang dilihat nyata memihak kepada bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Johor Bahru, Datuk Yahya Jaafar.
Setakat jam 2 petang, dilaporkan Yahya mendapat 292 undi berbanding Mohd Hairi 260 undi dengan satu undi rosak
Untuk rekod, proses pemilihan UMNO Bahagian Johor Bahru pada 18 Mac lalu telah ditangguhkan dan digantung selepas terdapat dakwaan kertas undi melebihi jumlah perwakilan yang hadir.
Sementara itu, Mohd Hairi menyifatkan pemilihan kali ini lebih adil berbanding pemilihan yang diadakan sebelum ini.
"Kepada yang menang diharap dapat terus berkhidmat kepada masyarakat dan meneruskan agenda yang tergendala hingga didengari ke peringkat nasional," katanya.