LANGKAWI - Dalam memastikan ruang udara negara bebas daripada ancaman dan pada masa sama penganjuran Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA '23) berjaya, ada juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terpaksa melakukan pelbagai tugas dan menjadi seorang yang serba boleh.
Bukan sahaja menggalas tanggungjawab menjaga keamanan dan keselamatan negara, seramai lapan anggota daripada pasukan No 18 Skuadron Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang tetap memberikan komitmen mereka dalam penyertaan pertunjukan udara pada LIMA '23.
Juruterbang No 18 Skuadron TUDM, Mejar Mohd Faizal Ab Rahim memaklumkan anggota TUDM yang menerbangkan pesawat pejuang itu sememangnya dilatih untuk menjaga keamanan negara.
"Kita ini sebagai pegawai tentera dan melakukan tugas am, tugas menjaga keselamatan dan keamanan negara adalah keutamaan kita tetapi pada masa sama kita juga dapat menjalankan tugas lain seperti ini (pertunjukan udara)," katanya kepada Bernama di tarmac Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), di sini pada Sabtu.
Selain Malaysia, pertunjukan udara pada LIMA ’23 turut membabitkan lima negara luar iaitu Indonesia, China, Korea Selatan, Emiriah Arab Bersatu dan Rusia pada acara berprestij yang berlangsung sejak Selasa lepas dan berakhir pada Sabtu.
Sementara itu, Pegawai Eksekutif No 18 Skuadron TUDM, Mejar Mohd Azmeel Mohd Nadzri berkata, empat unit FA-18D Hornet diterbangkan khas sempena acara bertaraf antarabangsa itu.
"Kami membuat persiapan lebih sebulan awal untuk berlatih dan membincangkan formasi (udara) yang digabungkan dari negara ini dan negara lain untuk mendapatkan hasil terbaik," katanya.
Mohd Azmeel yang menggunakan gelaran Fido berkata, pelaksanaan formasi aerobatik bagi pesawat itu antaranya ialah four-point roll dan inverted fly, namun kelebihan F/A-18D ialah mengeluarkan percikan api.
"Kebanyakan profil daripada TUDM pada LIMA ‘23 akan menampilkan elemen percikan api bagi membawa keistimewaan untuk pesawat kita dalam pertunjukan udara ini kerana pesawat-pesawat lain, mereka tidak buat sebegini tetapi mereka pakai asap,” katanya.
Beliau berkata, pertunjukan udara seperti ini mempunyai had ketinggian dengan menerbangkan pesawat antara lebih 76 meter hingga 1,524 meter.
"Kami perlu mematuhi segala langkah keselamatan yang diberikan pihak penganjur. Asasnya, kita tidak akan pergi tinggi sangat kerana nanti pengunjung tidak nampak pertunjukan itu," katanya.
LIMA ‘23 bertemakan"Titik Perhubungan Perdagangan Maritim dan Aeroangkasa Asia” melabuhkan tirai hari ini. LIMA edisi seterusnya dijangka berlangsung pada Mei 2025. - Bernama